Monday, May 5, 2008

Cadangan: Abadikan ibu dalam biografi

Ini bukan cadangan saya, tapi cadangan Datuk Zawiyah Baba, bekas orang kuat PNM ... artikel ini lama terpendam di dalam PC saya, dan hari ini saya kembalikan ia ke dalam blog ini. Mungkin akan memberi makna dan idea kepada kita untuk berbuat sesuatu kepada ibu kita?

Biar dihimpun seluruh kekayaan di dunia ini, budi ibu bukan hitungan begitu ... Selamat Menyambut Hari Ibu dan selamat berkarya ...

HARI Ibu pada tahun ini amat sedih bagi saya sebab terkenangkan ibu yang tiada lagi. Ini tahun pertama ibu tiada bersama kami pada Hari Ibu. Dia meninggal beberapa minggu sebelum kami adik beradik berangkat menunaikan fardu haji di Tanah Suci awal tahun ini. Peluang untuk mendoakan kesejahteraan ibu dan abah di Tanah Suci dapat mengurangkan kesedihan kami. Pada Hari Ibu baru-baru ini sayaterdorong untuk meneruskan penulisan biografi ibu yang telah terhenti apabila beliau meninggal dunia. 

Bagi saya, inilah satu cara yang dapat mengingatinya dan untuk cucu-cucunya dan generasi seterusnya dapat mengenalinya. Saya telah memulakan siri temu bual bersama ibu sebaik sahaja saya bersara daripada perkhidmatan kerajaan untuk mendapatkan maklumat mengenai kisah hidup beliau semasa kecil, remaja dan zaman muda. Saya agak kesal tidak berbuat sesuatu semasa ayah meninggal dunia pada tahun 1999 kerana terlalu sibuk dengan tugas dan komitmen seharian. Insya-Allah dengan menulis biografi ibu saya juga dapat menyingkap kisah hidup ayah. 

Semasa membuat kajian mengenai penulisan biografi ibu, saya dapati amat kurang biografi ibu yang ditulis oleh anak perempuan. Lebih banyak biografi mengenai anak yang ditulis oleh ibu mereka atau biografi yang ditulis oleh anak lelaki mengenai ibu, atau oleh anak perempuan mengenai bapa mereka. Datin Ragayah Eusoff telah menulis buku pertamanya iaitu biografi bapanya berjudul Lord of Kinta: The Biography of Dato’ Panglima Kinta Eusoff setelah bersara dari Bank Negara. Insun Sony Mustapha juga telah berjaya menghasilkan biografi perjuangan bapanya Mustapha Hussein, nasionalis Melayu di Perak, sebelum penubuhan UMNO. 

Satu contoh biografi yang menghargai ibu ditulis oleh James McBride berjudul The Color of Water: A Black Man's Tribute To His White Mother. James, seorang wartawan dan ahli muzik, telah nekad untuk menyingkap misteri ibunya yang berkulit putih dan akhirnya berjaya memujuk ibunya menceritakan kisah dirinya. Dengan pengkisahan riwayat ibunya, James juga menceritakan kisah hidupnya sendiri, dan sekali gus menjadikan buku ini sebuah autobiografi dan biografi yang amat menarik dibaca. 

Sedihnya, dua contoh biografi mengenai ibu yang ditulis oleh anak perempuan telah menggemparkan Amerika kerana mendedahkan keburukan ibu mereka secara keterlaluan. Contoh pertama, Mommie Dearest ditulis oleh Christina Crawford mengenai ibu angkatnya, pelakon terkenal Joan Crawford setelah beliau meninggal dunia. Joan digambarkan sebagai seorang pemabuk, pembengis, sering menjerit dan menengking anak-anaknya dan meninggalkan penjagaan seharian mereka kepada orang gaji. Seorang lagi pelakon tahun 50-an yang terkenal, Bette Davies patah hati disebabkan biografi yang ditulis oleh anaknya sendiri semasa hayatnya. Biografi berjudul My Mother's Keeper:A daughter's Candid Portrait of Her Famous Mother, menggambarkan Bette sebagai seorang ibu yang kejam, mengabaikan tugasnya dan asyik dengan kepentingan dirinya. 

Contoh biografi mengenai ibu yang paling saya minati ditulis oleh penulis tempatan yang terkenal S.Othman Kelantan, yang dinobatkan sebagai Sasterawan Negara kesembilan pada 2003. Biografinya berjudul Wajah Seorang Wanita ditulis dalam bentuk novel dan berjaya melukiskan kisah dan suasana hidup keluarganya dengan begitu terperinci dan mempesonakan. Jelas sekali penulis amat menyanjungi Allahyarham ibunya, yang terpaksa mengambil alih tugas memelihara dan menyara keluarganya setelah suaminya kembali ke rahmatullah. Sebagai ibu tunggal dan janda muda berumur dalam lingkungan 30-an, beliau terpaksa gigih dan cekal mengharungi pelbagai cabaran untuk memajukan perniagaan balak arwah suaminya di samping membesarkan lima orang anak dan saudara mara yang menumpang keluarga beliau. 

Penulis, anak lelakinya yang sulung, taat dan menuruti nasihat ibunya agar beliau mengikut jejak ayah dan datuknya untuk menjadi guru dan seterusnya mendalami bidang keilmuan dari mengikut pilihannya sendiri untuk menjadi peniaga balak yang berjaya. Kalau ingin mengabadikan kenangan untuk ibu dengan menulis biografinya, mulalah dengan mengumpul bahan mengenai ibu. Contohnya menyusun salasilah keluarga, koleksi gambar keluarga dan menulis keterangan bagi setiap gambar yang dipilih, berbual mengenai topik tertentu bersama saudara mara terdekat mengenai ibu. Kita juga boleh mengumpul resipi kegemaran ibu, petua-petua rumah tangga atau hobi ibu yang lain jika ada, seperti sulaman, lukisan dan penulisan. Inilah di antara cara yang bermakna yang boleh kita lakukan untuk mengenang ibu yang telah pergi. (Utusan Malaysia - Mei 22, 2006)

Bagaimana? Bukankah itu satu tanda cinta kita pada ibu? Saya berkira-kira juga untuk berbuat begitu. Tengoklah macam mana ...

4 comments:

Anonymous said...

Kak Fisha,

Saya kalau bab menulis sesuatu yang terlalu personal atau berkaitan ibu bapa saya masih tak mampu. Kwan saya boleh saja berblog dengan panjang lebar berkaitan dengan family mereka emak abah dan adik beradik tapi saya ni macam tak da mood nak buat. Bukan tak sayang mereka tapi entahla, malu agaknya hahaha.Hati keras sangat kot huhuhu

Pishaposh said...

Ikmal,

Bukan Ikmal sorang begitu. Saya juga. Itu bukan tanda keras hati, tapi kita mempunyai cara kita sendiri. Orang lain tak perlu beritahu cara mana yang betul untuk kita mengungkapkan rasa sayang kita. Yang penting, talian kasih tak putus, dan kita sentiasa ada rasa untuk menjadi anak yang baik buat ibu bapa kita.

True love hears what is not spoken, and understands what is not explained, for love doesn't work in the mouth, nor the mind, but in the heart...

Anonymous said...

Cik Fisha,

bila cerita tentang ibu...saya teringat kawan saya..ibu nya seorang tailor...bila tiba musim raya..dek kerana ibunya sibuk dengan tempahan baju raya yang extra banyak.....ibunya akan sibuk siapkan tempahan baju raya pelangganya dulu..kemudian baru baju raya kawan saya...tapi macam mana pun kawan saya cool jer...itu la dipanggil understanding each other..itu ok la kan..saya sendiri pun..ibu saya tak penah buatkan baju kurung..tapi saya pun Ok jer..kalo semua ibu buatkan baju kurung...maka takde la tailor nak sibuk musim raya kan

Anonymous said...

Cik Anonymous ...

Tu bunyinya macam cerita saya saja? Hehehe ...

Ya, mak saya seorang tailor, dan baju raya saya hanya siap boleh dipakai pada hari kedua raya. BOleh dikatakan begitu selalunya.

Sekarang ni, baju raya saya memang boleh dipakai pada hari raya untuk bergaya ... malangnya, bukan dari mak saya .. tapi yang siap jual ... Huhu!