Wednesday, May 14, 2008

Cerita Hari Ibu

Hari Ibu – idea Anna M. Jarvis yang sangat memuja ibunya menjadi sambutan di seluruh dunia. Idea yang baik, kerana untuk ibu, biar sejuta hari pun kita meraikannya tidak pernah akan terdaya membalas apa-apa pun.

Kenapa bicara hari yang sudah berlalu?

Kerana, semasa bersarapan dengan Kak Norma dan Fetty pagi tadi, keluarlah cerita “Demi Masa” lakonan Sheila Rusly, Rozie Rashid, Shafii Naswip dan Iqram Dinszly pada malam 10 Mei 2008, di TV3, pukul 10.30pm. Masing-masing punya pendapat tersendiri. Kata Kak Norma, itu bukanlah lakonan terbaik Sheila Rusly – kerana nampak sangat dibuat-buat. Kata Fetty, dia lebih suka tengok Sheila berlakon drama hari raya (lupa tajuk) bersama Abby dan Bob Azrai dan Normah Damanhuri. Bagi saya pula, bukan barisan pelakon atau lakonan mereka yang saya kisahkan, tapi lebih kepada apa yang ditonjolkan.



Drama itu memang saya tonton bersama Kak Marina pada malam 10 Mei itu. Pada 11 Mei pula, di saluran Hallmark ™, saya menonton cerita bersempena Hari Ibu juga bertajuk “Our House” lakonan Doris Robert (Everybody Loves Raymond) dan Judy Reyes (Scrubs). Apa kena mengena dua cerita ini?

Persamaannya, kedua cerita ini ditayangkan sempena Hari Ibu, dan ceritanya berkisar kepada kisah ibu dan anak. Namun, yang membezakannya, adalah garapan keduanya. Ya, tidak adillah untuk membuat perbezaan begitu – kerana kedua-duanya berbeza jalan cerita. Apa yang paling saya sebalkan di stesyen TV kita, asal Hari Ibu, Hari Raya, majoriti ceritanya adalah cerita anak derhaka, tak ingat ibu bapa, dan di akhirnya menyesal. Jaranglah cerita-cerita hari begini menyenangkan hati dan perasaan. Apakah cerita begini sahaja yang mewarnai hidup kita? Kenapa tidak dikupaskan kerulusan hati anak terhadap ibu? Kenapa mesti anak sahaja membawa watak menderhaka begitu? Semak perut saya! Dalam hal ini saya bersetuju dengan Yasmin Ahmad yang TV kita jarang memaparkan adegan berkasih sayang dalam keluarga. Yang selalu ada babak pergaduhan di meja makan, dan watak suami memarahi isteri. Pun begitu, saya tidak lalu juga melihat watak suami isteri bergurau di ruang tamu seperti dalam Sepet, dan babak isteri memandikan suami dalam drama Rabun.



Bila menonton Demi Masa, saya naik menyampah. Satu, cerita itu saya dah dengar (melalui email yang dihantar – tapi pengarah kata idea dia sendiri – lantaklah!). Kedua, ibu itu sebenarnya yang menggalakkan anaknya menderhaka. Anak buat apa pun, cantik dan elok sahaja di matanya. Memanglah dalam drama itu, kasih sayang Maryam (Sheila) terhadap Nazli (Shafii dan Iqram) nampak tulus, namun untuk menelan adegan begitu, saya tak boleh lah! Tapi, saya boleh toleran dengan watak Chah (Rozie Rashid) yang realistik.

Dalam Our House pula, Ruth (Doris) adalah seorang wanita yang tersangat kaya, namun kesepian menghabiskan sisa umurnya. Anak perempuannya adalah seorang ejen hartanah yang sangat kaya dan anak lelakinya adalah seorang jurusolek. Namun, hubungan Ruth dengan anak perempuannya tidak begitu baik kerana anaknya hanya mementingkan karier. Anak lelakinya lebih banyak menggalakkan Ruth melakukan apa yang beliau suka. Peristiwa Ruth diselamatkan oleh seorang gelandangan bernama Billy memberi idea kepada Ruth untuk menjadikan kediaman besar dan mewahnya sebagai rumah tumpangan untuk mereka yang tidak berumah. Idea itu tidak disenangi oleh anak perempuannya dan ini mencetuskan ketegangan antara mereka. Namun, di akhirnya, anak perempuan Ruth tersedar bahawa rumah ibunya itulah sebenarnya kedamaian dan dia kemudiannya berbaik semula dengan ibunya dan mula memberi perhatian kepada ibunya hingga ke akhir hayat – Ruth meninggal kerana kanser.

Our House juga bercerita mengenai anak yang lupa diri terhadap ibunya – namun, yang menarik, babak ‘menderhaka’ itu tidak menjadi fokus utama. Ia lebih mengajak kita untuk merasai bagaimana keluasan kasih ibu itu. Sememangnya, kalau ibu mengambil keputusan untuk tidak mempedulikan kita lagi, usah diharaplah akan ada bentuk ketenangan lain di dunia ini. Elemen inilah yang membuatkan saya lebih selesa menonton Our House daripada Demi Masa (oh, saya bukan bias terhadap cerita Melayu – saya masih boleh menghargai keseronokan menonton slot Akasia dan cerita-cerita Melayu di TV1 dan TV2 pada hujung minggu!).

Seterusnya, saya lebih mengharapkan, terjemahkanlah kasih ibu itu pada galur lakonan bentuk lain – seperti mengenangkan kebaikan ibu melalui anak angkat, atau perasaan kali pertama bergelar ibu atau ceritakan saja telatah ibu yang lucu dalam meladeni anak-anak dan suami. Kan lebih indah begitu?

Nota:

Ini pendapat saya saja. Terpulang, untuk anda bersetuju ataupun tidak.

Gambar dipinjam tanpa diminta izin, tapi dikreditkan:

  1. http://www.budiey.com

No comments: