Tuesday, January 27, 2009

Karya saya ...

Seperti yang dijanjikan ... karya saya semasa bengkel bersama Sasterawan Utara - dalam 2 genre - pantun dan sajak.

Pantun saya:

Kuntum melati sematan sundusi,
Pakaian tempawan tika ke taman;
Riang hati minda terisi,
Ilmu mu tuan jadi pedoman.

Komen pakar:
Beliau tidak faham maksud
sundusi (sutera; berasal dari perkataan Arab, SUNDUS) - maka dicadangnya kepada saya supaya menggunakan perkataan yang biasa dan senang difahami.

Pendapat saya:
Saya merasakan tak salah sekiranya saya menggunakan perkataan yang jarang digunakan bagi memperbanyakkan perbendaharaan kata saya. Lagi pula, pantun adalah seni mainan kata-kata. Kalau tidak diunjuk kata yang jarang, bagaimana bahasa mahu berkembang? Faisal Tehrani idola saya itu selalu berbuat begitu. Saya ikut sajalah ... -- saya terima teguran beliau. Tak ada masalah.


Pakaian tempawan tika ke taman,
Tempat bertemu para pasangan;
Ilmu mu tuan jadi pedoman,
Budi mu itu tiada hitungan.

Komen pakar:
Elakkan menggunakan kaedah syair (rima a, a, a, a), sebaliknya gunakan rima a, b, a, b.

Pendapat saya:
Ish, macam mana boleh terlepas pandang ni! Saya rasa dah cukup berhati-hati, tapi tersalahlah pula. Geramnya! Tiada
defense. Hamba salah, tuan!


Ini sajak saya yang berbunyi begini .. (tajuknya "Ibu .. oh Ibu ..."). Sila jangan ketawa.

Ibu pernah bilang,
"Nak,
Jangan kamu kepalang ajar,
Mata melingas meliar-liar,
Jangan dewasa sebelum usia,
Simpan cintamu pada yang istimewa."

Pesan ibu daku pegang,
Terpelajar tanpa tersasar,
Mataku tunduk tidak meliar,
Aku biarkan kedewasaan tiba pada masanya,
Cintaku simpan sampai kering dahannya.

Kemudian ...

Ibu resah dengan pesanan sendiri.
Aku patuh pada peri, bikin ibu cemas lagi.

"Nak,
Tawanlah pria hati,
Ibu mahu menimang cucu
Rosak hidupmu tidak bersuami
Walau belajarmu julang melangit."

Aku keliru pesan ibu, berubah nada setelah sekian lama.

"Ibu,
Bukan aku tidak mahu,
Pesanan dahulu apa kisahnya,
Kunci takdir tidak padaku,
Aku tak mampu penuhi impian nan itu."

Kenapa tidak dari dulu ibu bilang begitu?


Remark Kak Marina:
"Knowing you, I know what does it mean!"

Komen pakar:
Pakar tak komen apa-apa kerana sajak ini termasuk dalam tema biasa - dia lebih mencari sajak yang punya kekuatan kehidupan - kerasnya hidup dilambung ombak, keresahan dan sebagainya.

Pendapat saya:
Lantaklah!

Pendapat anda?

8 comments:

Naj AB said...

Wah Peesha. Gi bengkel penulisan kat mana? Bestnya. Siapa bagi pengisian. Ish, jelesnya saya.

Pishaposh said...

Najibah, bengkel tu dibuat di kampus tempat saya bekerja ... bengkel yang dikira sebagai jam latihan ...

Siapa yg berceramah? - Sasterawan utara tu la ...

Dan, memang anda kena jeles .. hehehe

Anonymous said...

UiTM Dungun amatlah indah,
Ditambah lagi laut membiru,
blog ada pantun sudah,
bila mau mengarang buku?

Ok tak pantun ni, kalo ok apa lagi balasla, kalau ada salah tolong akak betulkan yea :p

Anonymous said...

jikalau saya beri komen, ini dari fakir bahasa bukan yang handal dalam bahasa ya..

dalam penggunaan pantun, awak menggunakan laras bahasa asing iaitu bahasa arab. menurut mawar shafie dalam kertas kerjanya yang dibentangkan januari lalu, laras bahasa asing kelihatan janggal untuk digandingkan bersama bahasa melayu. lalu saya cadangkan awk menggunakan laras bahasa klasik berbanding bahasa asing.

lagipun kata orang kalau mahu mengenali melayu, kenali melalui pantunnya. kalau guna laras bahasa asing bagaimana mahu cerminkan bangsa melayu?

bukan menolak menggunakan laras bahasa asing cuma perlu digunakan pada masa yang tepat dan kena.

pada puisi pula..
saya tidak pandai menulis komentar.
apa yang saya boleh kata, puisi awak ini seperti gurindam, saya rasa mungkin awak menulis sambil membaca puisi ini. puisi ini seolah terikat pada rima.
puisi ini dilihat melihatkan rima sehingga kelihatan tidak seimbang pada penyampaian maknanya. saya nasihatkan ekonomikan penggunaan perkataan dan perbendaharaan kata ya

tidak mengapa membawa puisi yang biasa temanya asalnya kuat pada penyusunan bahasanya. semoga berjaya.


Ada apa di dalam daun
Dalam daun buah bidara
Ada apa di dalam pantun
Dalam pantun ada bicara

Anonymous said...

luahan indah tapi sinis sang penulis


terperangkap pada garis pemisah di antara cita dan cinta

biar cita sudah tercapai, cinta masih terus diburu

tapi apakan daya, takdir penentu segala

ibaratnya:
tangan terikat di langit
kaki terpasak di bumi
jasad tidak setanding mimpi

tapi temanku, usah digusar semua itu

lambat bukannya lewat
belum bukannya tiada

sampai masa

hawa kan bertemu adam nya
balqis kan bertemu sulaiman nya
zulaikha kan bertemu yusof nya
khadijah kan bertemu muhammad nya

terus tawakal setelah usaha

moga kamu kan kembali pada rusuk sang pencinta yang sebenar...


salam bicara
03/02/09

Alin Ahmad said...

Fizari : hmm...wat a cute reply towards Fisha's poem..great dude!

Fisha : "lambat bukannya lewat
belum bukannya tiada" .... terkesan tu beb!

Anonymous said...

Ikmal:

Makan sudah tidur pun sudah,
Hanya mandi yang belum;
Blog sudah pantun pun sudah,
Buku dinanti akan kumaklum.

P/s: Kalau ikut hukum, pantun-pantun kita ini belumlah mantoop!


ainunl.muaiyanah:

Ya, laras bahasa asing yang digandingkan dengan seni pantun Melayu memang janggal kedengarannya. Logik juga. Tapi, kalau kata asing itu sudah menjadi bahasa sendiri, bagaimana? Dan, bagaimana pula daripada aspek pengayaan bahasa pula? Saya benar-benar mahu tahu.

Pasal puisi itu, saya kira memang saya tidak berbakat menulis puisi. Mungkin terpengaruh dengan gaya pantun, maka sajak saya terikat rima?

Apa maksud mengekonomikan penggunaan kata? Saya tak faham.

Bangun berdiri menyambut tamu
Tamu merambih membawa petis
Ku kira diri setaman ilmu
Rupa tak lebih embun setitis.


Fizari:
Terima kasih atas nasihat yang mendamaikan itu ...

Saya kehabisan kata-kata untuk membalas kata-kata anda yang indah itu … ohh …


Alin:
Ya, lambat bukannya lewat … tapi kalau dah lambat, tak ke sampainya nanti lewat? Hahaha

Doaku juga untuk dirimu dengan *tuuut

Alin Ahmad said...

Fisha : hahahahahhaha...biar lambat dan lewat asal sampai...

**tuuut.... ada citer sebenarnya yg membuatkan diriku tak berminat nak teruskan...apa2pun tq atas doamu. Doaku juga utk dirimu!