Friday, October 29, 2010

Cuit: Kalaulah FB ada sejak dahulu kala


Cuit sikit!

Pengganti entri yang masih belum boleh siap sampai ke akhir ini ... dikirim ke emel saya oleh seorang rakan.

Semoga dapat menikmatinya!



Tuesday, October 5, 2010

Found in Malaysia by [the Nut Graph]

Image credit: google

Buku ini adalah hadiah hari jadi saya daripada housemate saya - Kak Marina. Teruja bila dapat, sebab saya sekarang suka nak menekuni isu seputar Melayu vs. Pendatang. Kiranya hadiah ini sangat perfect, tepat pada masanya! Saya sayang housemate saya itu ... hehehehe!

Ada beberapa perkara yang boleh dibicarakan untuk buku ini - sebelum, semasa, selepas.


Sebelum:
Masa saya terima buku ini, perkara pertama yang menangkap pandangan saya adalah cover nya. Menarik pada saya, dengan kolaj wajah-wajah personaliti di Malaysia ini. Ada yang saya kenal, dan sebahagian besarnya, tidak.

Kemudian, mata tertancap pada nama publisher - ZI Publication. Saya tak ada isu pun dengan publisher ini, cuma saya rasa saya dah macam boleh agak bagaimana isi buku ini. Tapi, tidak mengapa, berbeza pendapat saja. Tak perlu kecoh-kecoh, raikan saja!

Perkara ketiga - The Nut Graph. Saya pernah dengar nama ini, tapi tak pernah ambil kisah apakah ia (sampai sekarang pun!). Ini pun bukan perkara besar. Err, perlukah saya mengambil kisah siapa yang menulisnya?


Semasa:
Pembacaan berlaku right away lepas dapat buku tersebut (Sept. 19, 2010) dan ditamatkan pada 4 Oktober 2010. Gila lama! Bukan isu ... next!

Pada halaman pengenalan, editor menjustifikasikan bahawa buku ini ditulis kerana melihat isu Melayu vs. Pendatang adalah sesuatu yang semakin menakutkan. Banyak sentimen-sentimen yang dimainkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan - terutamanya ahli politik, selepas Pilihanraya Mac 2008. Maka, sebagai satu usaha untuk tidak memburukkan keadaan, buku ini dihasilkan. Ditulis dalam format interview questions, seramai 48 public figures Malaysia telah ditemuramah, dengan tambahan 4 special figures.

Editor memberitahu bahawa responden untuk buku ini adalah daripada pelbagai aspek - gender, sexual, generational and political diversity. Tapi, bila baca, saya rasa diversity itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Not my kind of diversity! Namun, editor juga mengakui bahawa ada ketidakseimbangan dalam interview kerana dari segi gender, hanya 10 orang wanita, selebihnya lelaki dan ... (saya tak pasti nak classify kan sebagai apa). Selebihnya, hampir semua responden adalah penduduk semenanjung dan 4 orang sahaja dari Sabah dan Sarawak.

Namun, walaupun tidak berapa nak kena pada saya, saya masih ok. Lagi pun, penulisan buku ini bukan untuk memuaskan hati saya, kenapa pula apa yang saya rasa menjadi masalah kepada penulis, kan? Baca tanggung sendiri lah!


Selepas:Bitter!
Bukan saya, tetapi, hampir 2/3 daripada responden yang ditemubual bercakap dengan perasaan itu. Ramai yang di akhirnya apabila ditanya, apakah impian mereka untuk Malaysia, ramai memberikan jawapan yang akhirnya boleh dipastikan ke mana perginya. Kalau dia Melayu, dia mahukan sesuatu untuk Melayu dan seterusnya lah. Namun, ironinya, yang bukan Melayu bila menyatakan impian, tersirat juga satu keinginan untuk bangsa mereka, tapi yang Melayu, berlainan nada. Serasa seolah jijik dan berdosa menjadi Melayu -- itu yang saya rasa bila membaca.



Ramai yang mahukan notion bangsa dan agama itu dihapuskan bila bercakap mengenai Malaysian (sekali lagi, yang non-Muslim tak ketara sangat nak buang notion religion tu, yang Muslim pulak bersimpul sirat cakap ... haih! -- dan juga, macam Islam tu adalah satu problem -- lebih ketara ramai yang mencadangkan agar freedom of religion tu perlu dibebaskan sebebas-bebasnya). Maksudnya, bila orang tanya, who are you? I'm Malaysian. Not Malay, Chinese or Indian or lain-lain tu ... Malaysian. Period.

Ada juga yang sampai berkata, oleh kerana setiap orang ada daya untuk berfikir, tak perlulah pemikiran kita ini dibataskan oleh unsur-unsur paksaan oleh kerajaan, seperti fatwa-fatwa itu. Ohhh!

Kemudian, ada yang mempersoalkan kenapa susah sangat Malaysia ni nak jadi melting pot macam di USA tu - sampai part ini, saya senyum sendiri. Kenapa senyum? Kelakar pertanyaan tu .. pada saya lah. Anda, mana saya tahu.

Secara sepintas, saya bersetuju bahawa kita patut hapuskan ketidakadilan. Seperti mengenakan kuota bangsa untuk belajar di universiti, dan juga pemberian biasiswa. Pada saya, sudah sampai masanya kita mengubah budaya mediocrity di kalangan kita-kita ini dan menggalakkan meritocracy. (Saya sedang menyaksikan mediocrity ini pada masa ini dan saat ini, dan memang saya berharap saya saya menggunakan meritocracy untuk mengubah bangsa saya!).
Betullah, macam yang setengah dari mereka kata, kenapa nak kena ada kuota-kuota ini, sedangkan niat untuk berbakti pada Malaysia ada pada mereka dan kita. Ini adalah tanah air bersama, maka, sama cecah kekayaan yang ada.

Namun, perkara yang termaktub dalam Perlembagaan itu usahlah didebat secara tidak rasional - kerana, walaupun kebanyakan kita pendatang, siapa yang terlebih dahulu memakmurkan tanah ini? Dosakah menjadi Melayu? Dan, apakah yang lain tidak terkena tempias kemakmuran itu? Berlebih-lebih, malahan.

Maka, boleh anda tebak saya bagaimana, kan? Rasis?

Semua pun ada perasaan itu. Bezanya, macam mana level kita nilaikan perkara itu. Simple. Semua ada interest masing-masing. Apa yang kita mahu, mungkin akan menidakkan hak orang lain, dan sebaliknya. Equal boleh buat, justice? Is this the case pot calls kettle black?



Kesimpulan:
Must read. Boleh bandingkan kita dengan mereka. Mereka kata mereka orang biasa (walaupun mereka public figure) dan itu pandangan mereka dari kehidupan mereka.

Dan, apa pula kata kita yang luar biasa ini (bukan public figure)?


P/s: Mungkin selepas ini the Nut Graph boleh buat Found in Malaysia II yang menemubual orang-orang luar biasa ini? Adakah orang luar biasa ini kisahkan perkara sama? Mari kita lihat siapa yang kena!

Thursday, September 23, 2010

Padang Bulan & Cinta di dalam Gelas by Andrea Hirata

Image: Google

Novel ini adalah berian teman dari tanah seberang yang datang berkonferensi di Terengganu awal Ogos yang lalu. Tapi, sebenarnya, saya yang minta dia belikan untuk saya. Dan, kerana dia terhutang budi dengan saya menempah hotel untuknya, bawak dia jalan-jalan, makanya novel ini jadi hadiah [kalau tak pun, saya akan paksa dia hadiahkan kepada saya … hahahaha].

Seperti biasa, saya dapat tahu mengenai novel ini di halaman Goodreads bila Najibah membuka topik karya terbaru Andrea Hirata. Sejujurnya, inilah karya Hirata yang saya baca dengan tekun dan habis! Yang lain tu, belumlah tercapai – walau tersimpan rapi di rak.

Oleh kerana naskhah ini adalah dari Indonesia, maka bahasanya memang bahasa Indonesia. Namun, saya tidak rasa ia terlalu payah difahami (kerana bahasa Indonesia banyak juga saduran daripada bahasa Inggeris. cuma 2-3 patah perkataan yang saya tak faham – tapi tidaklah mengganggu pembacaan sangat.

Di’compile’ dua novel dalam satu buku, saya rasa ini idea yang bijak. Apa tidaknya, momentum pembacaan boleh saya teruskan tanpa saya mencari naskhah yang lain. [Dasar seorang pemalas – nak tukar buku pun malas!].


Novel pertama: PADANG BULAN


Setelah habis baca, memang saya masih tak boleh memutuskan kenapa tajuk cerita ini Padang Bulan. Namun, kalau diterjemahkan secara literal, mungkin saya boleh buat sedikit perkaitan – Padang – kawasan yang luas. Bulan pula satu objek yang cantik, dan susah digapai. Cantumkan keduanya mungkin saja ia bermaksud – kehendak manusia ini pelbagai. Sedari awal dia boleh memikirkan apa mahunya, dia akan berangan-angan untuk mendapatkannya. Ada angan-angan yang tinggal angan-angan, namun ada juga angan-angan menjadi realiti dengan kemahuan yang bukan sebarang. Dan, walaupun bulan itu susah digapai, bukankah sudah ada angkasawan yang ke sana? Begitulah seadanya … hehehe.

Seperkara lagi, bandingan antara 2 cerita di dalam dwilogi ini – saya lebih suka Cinta di dalam Gelas berbanding Padang Bulan kerana saya lebih faham fokusnya.

Kenapa begitu?

Permulaan cerita Padang Bulan, pembaca disajikan mengenai kisah keluarga Syalimah dan Zamzami (ibubapa kepada Enong aka Maryamah Karpov – tak pastilah fakta ini sudah diberitahu dalam novel Maryamah Karpov itu – saya kan belum membacanya!) – yang hidup dalam kesederhanaan dan penuh kecintaan. Kecintaan seorang suami kepada isteri, seorang ayah kepada anak, dan kecintaan seorang kakak kepada adik-adiknya. Pastinya setiap rasa cinta itu ada buktinya, dan buktinya perlu dibaca pada novel itu =)

Kemudian, cerita terus beralih kepada Ikal (watak utama dalam Laskar Pelangi) – yang sekarang ini seorang lulusan universiti dan sedang berkonfrontasi dengan ayahnya dek kerana ayahnya itu menolak cintanya dengan A-Ling – gadis Tionghua yang sangat dicintainya itu. Dan, terus-terus cerita Ikal hinggalah ke akhirnya tanpa cerita Enong itu. Kalau ada pun, Enong hanya muncul secare cameo (boleh begitu?). Dek kerana itulah saya rasa sedikit tidak senang dengan jalan ceritanya.

Tapi, yang membuatkan saya melekat pada pembacaan adalah kerana gaya penceritaan Hirata. Kelucuan, suspense, sedih semuanya bergabung. Memang pada ketika saya betul-betul ketawa terutama apabila sampai pada cerita Ikal dan kawan baik merangkap PI nya – Detektif M.Nur dan burung merpati pengutus surat – Jose Rizal.

Menghiburkan. Itu perkataan yang saya rasa paling tepat untuk menggambarkan Padang Bulan. Terhibur dengan perkara-perkara karut dan bodoh yang dilakukan Ikal demi memenangi A-Ling daripada Zinar (lelaki yang disangkakan Ikal sebagai pilihan keluarga A-Ling untuk dijadikan suaminya) dan perangai eksentrik Detektif M.Nur. Ditambah dengan kritikan sosial pada ketika-ketika tertentu, tidak hairanlah kalau ramai pengulas mengatakan Hirata beridea segar dan mudah difahami meski pada perkara yang bersifat abstrak.

Dan, begitulah cerita Padang Bulan itu.

Cerita kedua, Cinta di dalam Gelas – berdiri dalam falsafah tersendiri.

Masih seputar cerita Ikal, Detektif M.Nur, dan Enong – namun kali ini perhatian lebih kepada Enong. Enong di dalam cerita pertama adalah seorang anak yang terpaksa melupakan zaman persekolahan dan keseronokan belajar Bahasa Inggeris selepas bapanya mati dalam kecelakaan di tempat kerjanya. Dia terpaksa bekerja untuk kelangsungan hidup dan keluarganya. Namun, Enong bercita-cita tinggi untuk terus belajar Bahasa Inggeris dan apabila bertemu Ikal, dia nyata terpegun dengan Ikal kerana kebolehannya berbahasa itu. Enong pada novel kedua ini sudah berusia lanjut dan menjadi janda kepada seorang lelaki yang salah (kerana lelaki itu tidak bertanggungjawab sepatutnya – dan kemungkinan Enong berkahwin demi mengelakkan stigma anak dara tak laku).

Ikal dalam pada itu masih mengganggur dan menjadi kemarahan ibunya (belajar hingga mendapat ijazah dari universiti luar negara tetapi tidak mahu bekerja), kemudiannya bekerja sebagai pelayan di kedai kopi milik pakciknya. Di sinilah rasanya tajuk Cinta di dalam Gelas itu diperincikan.

Sebagai pelayan, Ikal membuatkan kerja yang membosankan itu sesuatu yang menyeronokkan dengan melakukan sedikit kajian mengenai jenis-jenis peminum kopi yang singgah di kedai kopi itu. Dia siap menyediakan buku daftar observation nya dan membuat kesimpulan – orang yang minum kopi pekat itu kenapa dan bagaimana sifatnya dan seterusnya. Dan, sudah tentulah cinta di dalam gelas itu merupakan bagaimana tafsiran mengenai peminum kopi dan kehidupannya - gelas kopi sebagai perlambangan.

Pemerhatian ini juga akrab dalam memperincikan budaya Melayu Belitong itu (kecenderungan melepak di kedai kopi dan permainan catur – dan, saya tidaklah tahu bahawa catur menjadi sebahagian daripada budaya Melayu kerana saya fikir, permainan yang selalu di’associate’kan dengan kedai kopi adalah permainan dam!).

Dalam cerita ini, Hirata menggambarkan masyarakat Melayu Belitong itu masih kuat citra patriarchal nya – ini digambarkan melalui apa yang boleh dibuat oleh lelaki dan susila yang dituntut dari wanitanya.

Kemuncak cerita apabila Enong menyatakan hasrat untuk bertanding catur sebagai membalas dendam terhadap suaminya (suaminya adalah antara juara catur dan catur adalah serupa maruah yang perlu dipertahankan). Enong sebelum itu tidak pernah kenal papan catur dan bidak-bidak catur berazam untuk bertanding. Kumpulan pengurusannya siapa lagi kalau bukan si Ikal, Detektif M.Nur serta 2-3 watak lain (mewakili kelompok minoriti dan tidak punya banyak suara).

Ikal kemudian mendapatkan nasihat seorang Grand Master catur – Ninochka Stronovsky – yang merupakan rakan sekuliah Ikal yang boleh membantu Enong dalam memenangi pertandingan catur itu. Setiap permainan Enong dan lawannya direkodkan secara tersusun oleh Ikal dan Detektif M.Nur dan pembantu mereka, dan corak permainan ini kemudiannya diemelkan kepada Stronovsky untuk dianalisis. Setelah beberapa siri analisis permainan, Stronovsky mendapati Enong mempunyai bakat tersendiri dalam permainan itu – dan, hampir saja menyamai bakat Anatoly Karpov! Saya rasa anda boleh menduga kesudahannya.

Plot cerita inilah yang membuatkan saya lebih terpaku dengan ceritanya berbanding yang pertama itu. Memang jelas kebijaksanaan Hirata mengadun seluruh penceritaannya.

Ah, cakap banyak pun tak guna. Cepat baca dan nikmatinya!


Saya bagi 9/10 matanya.


Thursday, September 16, 2010

Bumi Cinta by Habiburrahman El-Shirazy


Image credit: Google


Selepas Ayat-Ayat Cinta (AAC), minat saya pada karya Habiburrahhman El-Shirazy (Kang Abik) serasa biasa-biasa sahaja. Apatah lagi, selepas saya membaca Rindu Cleopatra, saya jadi menyampah habis. Namun, apabila membaca Ketika Cinta Bertasbih (KCB) I dan II, saya ok kembali. Mungkin kerana watak yang hampir sempurna membuatkan saya tidak berapa selesa dengan karya-karyanya.

Itu cerita hari itu.

Hari raya kedua yang baru lalu, apabila tetamu sudah kurang berkunjung, dan saya pun malas mahu berkunjung ke mana-mana, selepas makan tengahari, saya berkurung di bilik. Saya capai novel gemuk yang saya beli hampir dua bulan yang lalu. Dan, pembacaan diulangkan [sebab dah mula awal Julai hari tu]. Larut dalam pembacaan … saya kemudian larut terus dalam mimpi tidur siang … hahaha.

OK, serius.

Sebelum menulis ulasan ini, saya ada membaca beberapa ulasan di banyak blog. Kebanyakannya menyatakan karya Kang Abik yang ini tidak semantap AAC dan KCB – kerana plotnya mendatar dan banyak perbincangan yang tidak berapa menarik. To each his own la, kan? – saya tak tahu kenapa saya gemar gunakan kata-kata itu sejak akhir-akhir ini! Bagi saya, selepas habis membaca, saya rasa puas. Walaupun tidak secara keseluruhannya, tapi pada skala 1-10, saya menarafkan kepuasan saya pada skala 8.5. Kenapa besar sangat skalanya? Mari saya ceritakan.

Watak Ada 4 watak utama – Muhammad Ayyas, pelajar sarjana bidang sejarah yang mahu mengkaji mengenai sejarah Islam moden dalam era Rusia moden, Yelenagadis Rusia teman serumah Ayyas, pelacur kelas pertama yang tidak mempercayai Tuhan. Linor EJ Lazarenko @ Sofia Corsova @ Sofia Ezzuddinjuga teman serumah Ayyas, ejen perisik Mossad yang menyamar sebagai wartawan dan pemain biola untuk orkestra, Dr. Anastasia Palazzo, pembimbingnya yang menggantikan pembimbing asal – Prof. Abramov Tomskii. Anastasia, gadis berdarah Rusia-Itali adalah pensyarah di MGU dan seorang pakar mengenai sejarah Asia Tenggara.

PlotAyyas diminta oleh profesornya di Aligarh, India, untuk pergi ke Rusia untuk mendapatkan first hand data mengenai sejarah Islam di Rusia bagi melengkapkan tesis sarjananya. Rencananya hanya tiga minggu di Rusia. Namun, dalam tempoh itu, pelbagai perkara yang berlaku yang menyebabkan hidup Ayyas terpusing 180 darjah kalau tidak 360 darjah. Dia terlibat dengan pembunuhan seorang ahli mafia, difitnah sebagai orang yang bertanggungjawab meletupkan hotel ternama Rusia, menjadi terkenal setelah berjaya mematahkan hujah seorang penulis kontroversi di dalam satu talk dan kemudiannya muncul di dalam sebuah talk show. Di samping itu, Ayyas menjadi pemuda idaman 3 gadis watak utama yang gedegang-gedegang kecantikannya. Happy ending untuk sebahagian, dan cliff hanger pada sebahagian. [Mungkin akan ada Bumi Cinta II?].


Nilaian saya:

Nilai tambah
Saya menyukai plot cerita ini kerana subjeknya sangat menarik – bagi saya lah. Subjeknya adalah mengenai negara Rusia – yang saya rasa sangat luas dan kompleks untuk diterokai. Saya selalu membayangkan Rusia itu adalah sebuah negara yang sentiasa dalam keadaan berkabus, misteri dan cold (bukan sebab cuasanya, tapi budayanya). Malah, membaca tentang Kremlin saja sudah menyeramkan saya – bukan kerana di situ tempat pembuat dasar – tapi kerana dibayangi cerita-cerita ganas Stalin dan Lenin. St. Petersburg pula kedengaran seperti kota yang kejam dan keras. Entah apa-apa, kan? Itulah padah kalau tidak mengetahui.


Perbahasan mengenai atheis. Fenomena (boleh dipanggil begitu?) atheis adalah sesuatu yang pada saya sangat menarik. Walaupun, dasarnya ia tidak mempercayai wujudnya kuasa Tuhan, atheis itu sendiri sebenarnya adalah satu kepercayaan [ini antara perkara-perkara yang membuatkan saya tidak ‘lalu’ dengan falsafah]. Menerusi Ayyas, Kang Abik menyajikan ilmu baru kepada saya mengenai jenis-jenis atheis serta evaluation setiap satunya. Dan, paling menarik bagi saya adalah part di mana Ayyas berlawan hujah dengan seorang penulis terkenal dan penuh kontroversi kerana tulisan yang bersifat provokatif, Viktor Murasov. Namun, ada sedikit kesalan, kerana setelah Ayyas berhujah, Murasov terus didiamkan oleh Kang Abik – sebagai tanda Murasov terkena pukulan KO dari Ayyas. Pada saya, Murasov perlu bangun menentang kerana dia adalah seorang yang kritis dan penuh provokasi [tapi, kalau nak masuk yang ini, mungkin mencecah ribuan halaman pula lah jadinya, kan?]


Sejarah Sabra dan Shatilla 1982 pembersihan umat Palestin oleh tentera Yahudi. Melalui watak ibu Linor, Ekatrina – seorang sukarelawan PRC ketika kejadian itu, Kang Abik memperincikan cebisan kejadian peristiwa itu, bermula dari serangan 16 September hingga 19 September 1982. Cerita ini mengingatkan saya kepada 2 perkara – satu, Dr. Ang Swee Chai, penulis Dari Beirut ke Jerusalem (yang setengah saja saya baca – saya akan cuba habiskan lain ketika), yang menjadi saksi kepada peristiwa itu, dan lagu Allahyarham Zubir Ali – Balada Seorang Gadis Kecil, yang dinukilkan bersempena peristiwa itu – dan satu lagi, tarikh peristiwa ini bersamaan dengan tarikh lahir saya – September 17.

Kekejaman bangsa Yahudi di dalam peristiwa ini memang sukar untuk dibayangkan. Andai mereka bijak melukis peristiwa holocaust demi menarik rasa simpati dunia kepada mereka, mereka juga sebenarnya bijak menyembunyi pembunuhan di Sabra dan Shatilla ini. Sehinggakan, kita (saya sebenarnya), lebih dulu mengetahui holocaust dan simpati terhadap ‘mangsanya’ daripada saudara seagama di Sabra dan Shatilla.

Paling mengesankan apabila watak ibu Linor menyuruh Linor merenung dalam-dalam kepada rakaman ke atas satu mayat seorang wanita yang dirobek perutnya, disiat payudaranya dan londeh pakaian serta tudungnya – kerana itu adalah mayat ibu sebenar Linor – Dr. Salma Abdul Aziz. Saya tidak pasti watak Dr. Salma fictional atau pun tidak, tetapi nama-nama yang disebutkan oleh ibu Linor seperti Azizah Khalid dan Ang Swee Chai itu memang saya ingat dari buku Dari Beirut ke Jerusalem itu. Tragedi sebuah bangsa yang entah bila akan tamat T_T


Saya sebenarnya kagum dengan ‘keperasanan’ penulis dengan negaranya dan rakyatnya – lewat watak Ayyas itu. Watak itu dilukis dengan penuh pesona dan Indonesia digambar sebagai negara yang indah dan muluk. Saya jarang sekali menemukan watak orang Melayu Malaysia digambarkan sebegitu – maksudnya, yang sampai memberi impak international sebegitu (seperti menjadi popular hingga dijemput ke dalam talk show pada waktu prime time di stesen TV Rusia).

Pengecualian mungkin kepada tulisan FT dalam 1511 dan yang sewaktu dengannya. Juga karya Ramlee Awang Murshid – ADAM (besar kemungkinan ramai yang telah menulis, cuma saya yang tidak terjumpa). Bagi kita yang maklum dengan keadaan Indonesia, pasti ada rasa lucu apabila membaca perkara-perkara ini, dan ini juga mengingatkan saya kepada Ideal-Type Construct theory dalam bidang Development Administration. Tapi, kekaguman saya mengatasi kelucuan itu, kerana kalau tidak kita yang bermegah dan berbangga dengan diri kita, siapa lagi? Tidak salah kalau memberi penarafan yang tinggi pada diri sendiri (walau hakikatnya kita tidak begitu bagus) – kerana itu adalah lambang kepada tingginya self-esteem dan self-confidence kita. Kuasa confidence itu sangatlah besar dan mengesankan walaupun over-confidence selalu mendajalkan kita.


Seperkara lagi, hikmah dalam berdakwah. Hikmah dalam berdakwah pada saya adalah kebolehan menerangkan dengan mudah perkara yang susah tanpa mengurangkan tuntutan kepada perkara tersebut untuk orang yang mahu didakwahkan. Ataupun, hikmah itu, bermaksud, sentiasa ada jawapan untuk perkara-perkara yang ditanya. Dan, hikmah juga bermaksud, pintar memilih tindakan mengikut keadaan. Dan, perkara ini tercermin benar pada Ayyas semasa di dalam talk show itu. Saya cemburu dengan watak Ayyas dan penulisnya kerana hikmah mereka!



Nilai susut
Hal- hal teknikal sahaja …

Pertamanya, pengulangan dan pengulangan. Mungkin, dek kerana novel ini agak tebal, penulis terpaksa mengulang beberapa kali benda yang sama supaya fokus pembaca tidak lari. Namun, ia sedikit mengganggu kerana kadang-kadang pengulangan itu sama panjangnya dengan bahagian asal yang sudah dibaca. Bagi orang yang jenis membaca laju, mungkin tak terasa, tetapi pembaca yang deep reading (baca: slow dan lembab) macam saya ia menerbitkan rasa kecewa kerana tiba-tiba kena baca benda yang baru dibaca pada 15 muka surat yang lepas …


Ejaan. Kalau novel itu tebal, dan tiada langsung kesalahan ejaan, ia merupakan bonus point kepada saya kerana saya tak tahu kenapa saya sangat sensitif dengan ejaan. Walaupun tak banyak salah, ia tetap mengganggu. Dan, masa terganggu itulah masa terbaik untuk saya larut sampai tidur … what an excuse! Lame sungguh! Tapi, seriously, ejaan salah memanglah mood spoiler.


Kebetulan. Apabila ramai pengulas mengatakan novel ini mendatar sahaja, saya menyedari ada kebenarannya apabila habis membaca. Banyak perkara yang anti-klimaks. Asalnya memang mendebarkan, tetapi, bila di pertengahan, sudah boleh ditebak apa jadinya. Mungkin ia bermaksud, oleh kerana Ayyas seorang yang berperibadi tinggi, segala kesulitan jarang menghinggapinya … ah, bosan!

Antaranya, bila Ayyas tergoda oleh Linor, tiba-tiba Ayyas tersedar perbuatannya, kemudian terus melumpuhkan Linor serta mengeluarkan Linor dari kamarnya. Kebetulan.

Bila Linor memasukkan beg yang mengandungi bukti palsu yang akan mengaitkan Ayyas dengan letupan hotel Metropole, beg itu boleh pula tertinggal semasa Ayyas berpindah dan Ayyas tidak langsung melihat beg itu. Kecuaian seorang perisik? Kebetulan yang pelik. Dan banyak lagi lah …


Kesimpulan:
Selepas membaca novel ini, terasa semangat Islam itu sedikit membara. Memang ia boleh membangunkan jiwa sedikit sebanyak. Semangat untuk melakukan sesuatu untuk agama, bangsa dan negara melambai-lambai. Namun, selama mana? Hanya Allah yang tahu.

Hidayah itu kerja Allah. Namun, usaha untuk mencarinya tidak pernah Allah halangkan. Semoga kita semua menemukan makna pada kehidupan yang sementara ini, InsyaAllah.



**Sebab novel ini tebal, maka, ulasannya juga panjang.

Friday, August 27, 2010

Ogos yang semakin habis ... dan Ramadhan juga!

Salam Ramadhan. Salam Merdeka. Salam 1Malaysia. Heh!

Wah, pelajaran di Madrasah Ramadhan hampir nak habis. Tinggal dua minggu sahaja lebih kurang. Apa yang sudah kita belajar? Belajar menjadi redha dengan ujian? Belajar bersabar dan bertenang? Belajar menggandakan amalan? Dan, andai Ramadhan ini yang terakhir, bagaimana? -- ah, ala-ala Ustazah pula.

Apahal ni? -- Saja. Ingat mengingati. Semoga dipermudahkan semuanya. =)

Kemudian, bicara tentang ulang tahun kemerdekaan negara yang menghampiri usia 53 tahun - adakah makin matang pemikiran warga di dalamnya? Buat pertama kali, bulan hadapan menyambut Hari Malaysia pula ... apa yang sudah kita lakukan untuk negara? Sudah cukupkah bakti kita pada tanah yang sejahtera ini? -- persoalan-persoalan yang membuatkan saya rasa syahdu. Kenapa? Entah, saya pun tak pasti.

Entri kali ini belum ada ulasan, cuma sedikit nota untuk berita apa yang saya baca.

Yang sudah habis baca, tapi belum rasa mahu review:


Suka betul saya baca buku Ustaz Ismail Kamus yang ini. Ceria seperti gambaran muka depannya. Terkekeh-kekeh saya ketawa dengan cara Ustaz menjawab. Dan, saya tak rasa saya akan ulas apa-apa mengenai buku ini. Buku tentang bagaimana mahu beribadah - bagaimana nak ulas? Melainkan, gambaran yang diberikan, dapat mempermudahkan pembaca dan menepati tajuknya.

Buku yang di sebelahnya itu saya dapatkan dari Sindiket Sol-Jah. Kalau anda adalah regular readers buku-buku terbitan mereka, anda mungkin boleh imagine diversity penceritaannya. Ini saya akan ulas kemudian. Saya dah nak tulis dah sebelum ni, tapi bila ada ulasan lain yang bercerita, saya rasa inferior betul idea saya. Maka, saya akan fikirkan semula -- macamlah rajin sangat nak mengulang baca ni! Haih!


Yang baca separuh, sebahagian besar yang tertangguh!

Kebanyakan semua yang ini, mula baca dah lama, tapi tak habis-habis juga. Cuba nak baca sebelum tidur, tapi, belum sempat buka buku, dan habis baca doa, sudah berdengkur. Habis, macam mana? Alasan! Lame lah!


Paling lama, Qur’an and Cricket tu lah. Mula bulan Jun lagi, sampai nak habis Ogos pun tak habis-habis. Dari Abu Bakar Bashir kena tangkap, dilepaskan, kena tangkap semula pun, saya tak habis-habis baca. Sekarang, saya tersangkut di bab penulis bertemu mata dengan Abu Bakar Bashir. Suka bacanya, tapi tak upaya nak habis. Paradox apakah itu?

Buku Randa itupun antara yang lama nak dihabiskan. Kenapa entah kali ini saya tidak berapa rasa nak baca sangat seperti dua bukunya yang terdahulu.

Buku Habiburrahman itu, baru dimulakan awal Julai yang lalu. Agak tebal dan disebabkan mood nak baca novel agak kurang mari, tersangkuuut jugak yang ini pun. Baru di bab-bab awal kehidupan Ayyas di Moscow. Ada tekanan pada pembacaan. Apa dia? Will be disclosed once finish. Bila? Jangan Tanya. Hahahaha! Ntahapapantah, kan?

Dwilogi Andrea Hirata itu hadiah teman dari seberang. Dalam bahasa Indonesia. Tiada masalah untuk memahaminya, Cuma, itulah, asal nak sambung baca, ngantuk. Nak sambung je, ngantuk. Bila mau habis pun tak tahu! Psstt … ni ada rahsia – Laskar Pelangi, Sang Pemimpi, Edensor, Maryamah Karpov – semuanya ada, tapi TAK BACA-BACA! Saya pun tak tahu. Agaknya tak mahu tertinggal mengikut trend, beli, tapi tak baca. Bukan cerita baru, tapi sikap yang susah nak diubah! Kids, don’t try this at home!

120 Malay Movies tu, masa belum dapat excited macam apa sahaja. Selepas menerima naskhah beserta autograph penulisnya, terasa sebaliknya. Mungkin ada kaitan dengan expectation saya. Sendiri buat expectation, sendiri kecewa. Itulah, orang dah kata, nak baca, kena dengan minda yang clear … tak boleh prasangka, baru boleh lahirkan rasa yang original. Mungkin kena peram sekejap supaya sedikit ranum untuk penghadaman yang senang – sekarang rasanya masih separa putik. Hehehehe.


Beli, beli, beli dan tak baca-baca lagi ...


Tropical Affairs tu dua-tiga kali menarik pandangan. Cukup kali keempat, kena lah ambil! Apa punya ajaran pun tak tahu. Selak-selak, tutup. Selak-selak, tutup. Lepas tu, tertutup terus tak selak-selak langsung. Mungkin lepas Malaysia Day boleh sambung balik. Significant? Entah, tiada alasan.

Buku Ahmad Deedat itu paling baru saya beli. Tinggal satu naskhah di Popular Mesra Mall. Mahu mencuba kerana saya tidak pernah membaca sebarang karangan Deedat. Pengetahuan saya mengenai Deedat pun tidak banyak. Bila nak mula? Mungkin minggu-minggu terakhir Ramadhan, bila kuliah sudah tiada. Rasanya perlu penelitian yang banyak kerana isunya sedikit menguji. Dulu bercita mahu belajar comparative religion, tapi sampai sudah tidak kesampaian. Maka, cuba-cubalah untuk menguji diri. Moga saya temui kekuatan di situ! [sentap!]


Yang terus-terusan dibaca, walaupun macam-macam perasaan ada …


Dua yang ini lah. Kenapa kena baca? Sebab nak kena bagi lecture. Paper 101 je, tapi macam mana nak bagi lecture kalau sikit saja yang kita tahu? Maka, sebagai frustrated law student, saya kena menelaah lebih sikit daripada budak-budak ini. Dan, suka saya katakan, ia sangat membantu dan ia membuatkan saya perasan saya macam pandai gila bab undang-undang! Dan, ia juga menyebabkan saya menggedik-gedik nak buat law degree. First love. Takkan pernah mati. Moga-moga tercapai satu hari nanti.


OK … anda macam mana? Banyak mana pembacaan anda? Apa yang anda belajar daripada pembacaan anda?

Semoga amalan kita diterima Allah SWT. Selamat berpuasa semua! Dan, Selamat Hari Merdeka dan Hari Malaysia!


Malaysia, Boleh!


Gambar: Google kecuali Buku Deedat - from my own lense


Thursday, July 15, 2010

Rojak by Amir Muhammad

Gambar dari sini


Pernahkah anda menulis sesuatu yang mengarut? Mengarut yang saya maksudkan di sini adalah meulis sesuatu yang kadang-kadang out of the world? Contohnya, seperti cerita diserang hantu kemudian anda bertukar menjadi Ultraman dan kemudiannya bergabung dengan Power Rangers dan menakluk dunia ini?

Saya selalu merasakan saya ini orang yang tidak pandai berimaginasi. Kalaupun ada ia hanyalah sekadar imaginasi biasa, yang masih terkawal ceritanya. Ala-ala masih berpijak di bumi nyata. Membosankan. Dan, saya sememangnya kagum dengan mereka yang boleh menulis dengan penuh imaginasi, terutama yang boleh menulis dalam genre fiksyen, sains.

Dan, ROJAK termasuk di dalam kekaguman saya.

Sesuai dengan tajuknya ROJAK - memberi konotasi campur semuanya, karya Amir yang ini membuatkan saya rasa macam-macam. Ada cerita yang buat saya rasa mahu menangis, ketawa, rasa huh!, dan macam-macam lagilah.

Berkonsepkan cerita pendek yang ditulis tidak melebihi 350 patah perkataan, ada 63 cerita kesemua. Ada sesetengah cerita macam pernah dibaca dan didengar - seperti Dorm Horror Story (famous joke mengenai sabun Fab - siapa yang tinggal di asrama mesti pernah dengar cerita ini), A Tale of Two Cars (saya pernah baca dalam Chicken Soup series), City Fantasy (mengingatkan saya iklan Budi Bahasa lakonan Adlin Aman Ramli dalam LRT), dan The Breakup (surat cinta yang ditulis di dalam Bahasa Inggeris yang diterjemah secara langsung dari Bahasa Melayu.)

Yang paling saya suka cerita SPEED - ketawa saya panjang sekali. Tak tahu kenapa ia sangat lucu bagi saya.

Namun, ada juga cerita yang tidak dapat saya appreciate - SODOMY dan KARAOKE. Entah, mungkin kurang imaginasi boleh dipersalahkan!

Saya bagi 4/5 markah untuk keseluruhan ceritanya. Tahniah Amir! Anda buat saya gembira membacanya. Dan, kata teman serumah saya, Kak Marina, buku ini tampak menarik untuk dibaca kerana covernya yang berwarna pink dalam rupa hard cover itu mengingatkan dia kepada buku cerita kanak-kanak dulu-dulu [tapi, dia belum baca lagi buku ini].

Dan, sebelum terlupa, buku ini juga terbitan ZI Publication yang dilancarkan bersama-sama buku Tapai itu. Sama terbitnya, tapi lain rasanya.


Jom makan rojak!

Sunday, July 4, 2010

Travelog Cinta Abadi by Roza Roslan


Gambar dari sini



Saya rasa saya semakin suka untuk memiliki buku-buku yang diangkat daripada blog. Tapi, ada pengecualiannya - blog-blog kehidupan - bukan politik. Maka, apabila bertemu Travelog Cinta Abadi (TCA) ini, saya tidak bertangguh memilikinya.


Walaupun kesemua ceritanya sudah saya baca di blog Puan Roza, saya masih enjoy membacanya di dalam buku ini. Rasa kagum kerana beliau berjaya merakamkan peristiwa-peristiwa dalam hidupnya dengan 'hidup' sekali. Saya pernah cuba untuk berbuat demikian, namun, kadang-kadang saya sukar untuk mengenang cerita-cerita lama (terutama kisah-kisah tidak berapa seronok) dan menulisnya dengan rasa penuh indah dan penuh pengajaran. Maka, akhirnya, saya tinggalkan sahaja.


Berbalik kepada TCA.


Ada 93 cerita kesemuanya di dalam buku ini, dan kesemuanya mempunyai tajuk yang straight forward. Pada mulanya, saya tidak berapa faham kenapa buku ini menggunakan tajuk TCA, Masa yang berlalu ..., tetapi, setelah membacanya, saya terjemahkan begini - (mungkin) ia menggambarkan cinta penulis kepada orang-orang yang dia sayang, pada persekitaran dan kehidupan lalunya. Maka, jadilah cinta abadi. Saya terkesan, tapi saya tak punya rasa yang sama (atau belum lagi) terhadap kehidupan saya. Tapi, saya sudah cuba melihatnya daripada pandangan yang berbeza - walaupun banyak yang belum berubah.


Saya suka menganggap cerita-cerita di dalam TCA mirip kepada cerita bersiri Sekolah Sri Melur (adaptasi Enyd Blyton's Mallory Tower) kerana ia banyak bercerita mengenai diri penulis - anak yang nakal, dan pelajar yang berani - yang semuanya membuatkan saya rasa - kenapa saya tiada pengalaman begitu - soalan bodoh lah gayanya - kerana mana ada manusia yang liku kehidupannya sama, kan? Ini bukan persoalan cantik atau manisnya pengalaman hidup seseorang, tapi ia lebih kepada cara kita mengolah cerita kita. Umpama menulis karangan RUMAH SAYA - boleh saya ia menjadi nota yang paling menarik atau kisah yang teramat membosankan - bergantung kepada siapa yang menulisnya.


Moralnya:

Setiap pengalaman kita adalah yang terindah bergantung kepada bagaimana cara kita menanggapinya - contohnya, kisah Cikgu Roslan (ayah pengarang) yang sangat tegas [saya bersyukur ayah saya tidak begitu!], yang membuatkan saya rasa kasihan dengan penulis, namun masih boleh merasa kasihnya melalui apa yang ditulis oleh Puan Roza.

Cerita paling menarik? -- tiada yang spesifik, tetapi yang berkaitan dengan Mak Wa, semua saya suka. Saya tak punya peluang untuk berasa demikian, tapi, terima kasih Puan Roza kerana memberi kesan kepada saya!

Tuesday, June 29, 2010

Tapai - Travels & Guilty Pleasures of a Fermented Malaysian by Hishamuddin Rais

Gambar dari sini


Buku ini saya capai secara rambang. Itu aktiviti biasa bila saya mengunjungi kedai buku. Maksudnya, mesti kena beli satu buku apa pun. jangan keluar dengan tangan kosong! Lepas tu, bacanya entah bila bila … ditanya di Mahsyar, haruslah saya! Huhuu.

Saya memang tidak kenal Hishamuddin Rais (HR) – tapi info tentangnya yang saya ada, dia pernah ditangkap di bawah ISA, pernah menjadi pelarian politik dalam masa yang agak lama dan selebihnya pembikin filem yang tidak ditayangkan (atau, saya yang tidak menonton?). Saya juga pernah membaca blog beliau – tukar tiub – namun saya tak rasa saya menyukainya.


Buku terbitan ZI Publication ini merupakan koleksi tulisan HR di dalam majalah Off the Edge (majalah ini pun saya tak pernah baca – itu isu lain).


Buku ini secara ringkas bersifat travelog makanan – HR memberi pandangan peribadi beliau mengenai makanan yang dicubanya di merata tempat. Falsafah sesuatu makanan itu juga dihuraikan dengan menarik. Saya admire perkara itu. Seharusnyalah seseorang seperti beliau mempunyai banyak perkara untuk dikongsikan.


Saya sebenarnya tak tahu bagaimana nak bercerita mengenai buku ini – kerana pada saya, ia adalah satu catatan yang sedikit mengganggu. Seharusnya saya bercerita mengenai apa yang ditulisnya, bukan menilai siapa dirinya. Namun, banyak perkara yang membuatkan saya tidak boleh berasa begitu!


Pada muka pengenalan (dedication) ada dicatat:

Isham is part-time Bumiputera and full time human being.

Apabila membaca pernyataan ini, saya sudah mengagak apa yang akan saya temui – namun, hakikatnya, ia lebih mengejutkan!


Ya, saya adalah full-time Muslim, human being and Bumiputera – maka, apabila ada perkara yang ditulis beliau yang menyesakkan nafas saya, saya bersitighfar panjang. Dia terlalu berani malah pada satu-satu ketika terlalu bangga dengan kehidupan begitu. Iya, itu kehidupannya, sebagai full time human being, tiada yang salah mengenainya, namun apabila masih mengaku part-time Bumiputera itulah titik masalahnya (mungkin sebab dia tak nyatakan kelompok Bumiputera mana yang dia menjawat jawatan part-time itu).


Mewajarkan rasa, saya melihat sisi lain pula – dalam buku ini, HR berterus-terang bahawa dia adalah born-again agnostic (kalau ikut bahasa biasa, agnostic adalah satu kepercayaan tidak mempercayai kewujudan tuhan – boleh baca di sini) – maka, saya rasa saya patut berterima kasih kepada beliau kerana rela menjadikan dirinya guinea pig pada eksperimen yang pastinya mereka yang mengaku tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah tidak boleh melakukannya – mengkonsumasi perkara-perkara yang diharamkan. Mungkin falsafah seorang foodies seperti beliau – makan ditanggung sendiri – adalah jawapan pada segala rasa terganggu saya ini.


Akhirnya, mungkin untuk mengurang rasa terganggu saya akan mengatakan bahawa buku ini ditulis oleh seorang lelaki misteri – tanpa diketahui asal-usulnya, anonymous agama dan budayanya - … tapi, masih juga tidak boleh!






P/s: Buku ini memang sesuai dengan tajuknya – dan adalah sebuah bacaan yang menghiburkan! Ironikah? Anda baca, dan boleh beritahu saya kemudian.

P/s/s: Saya rasa saya pernah terbaca mengenai apa yang
Isma kata mengenai penerbitan ZI Publication di GR … dan, selepas membaca buku ini, saya bersetuju. Pstt, Isma, saya ada satu lagi buku terbitan ZI mengenai Edd Hussain – belum dibaca.

Thursday, June 24, 2010

Kimono Ungu Bersulam Bunga by Rebecca Ilham

Gambar dari sini



Dari sekian banyak genre penulisan, genre cerpen adalah kegemaran saya. Saya masih ingat lagi, saya mula berkenalan dengan genre ini sekitar usia saya 10 tahun, dan, antologi cerpen pertama yang saya baca adalah karya Fatimah Busu (tapi lupa tajuknya). Yang kelakarnya, oleh kerana saya tidak tahu bahawa istilah antologi itu merujuk kepada kumpulan atau himpunan puisi atau prosa yang ditulis oleh penulis yang sama, maka, setiap buku yang ada perkataan antologi, semua saya ambil tanpa melihat sama ada ia antologi cerpen atau puisi! Maka, bila terkena antologi puisi, saya menyumpah diri kerana saya memang tidak berminat dengan puisi. Itu cerita masa kecil.

Berbalik kepada kumpulan cerpen Kimono Ungu Bersulam Bunga.

Berita mengenai buku ini saya perolehi daripada laman Goodreads. Kemudian, Najibah si up-to-date-hip-and-cool perpustakawan itu =) mencadangkan agar buku ini dimasukkan sebagai input untuk program ganding baca (oh Najibah, berpuluh kali baca tentang ganding baca pun, saya masih tidak terhadam apa maksudnya! - apa kehai lembab bebenor teman nih!) membuatkan saya makin teruja. Akhirnya, pencarian di blog tuan tulis buku ini, terus membuatkan saya tidak berlengah untuk mendapatkannya. Dan, pada 14 Jun yang lalu, buku ini selamat sampai kepada saya (tapi, hari ni baru habis baca!).

Apabila membelek blurb di belakang buku ini selepas saya menghadam keseluruhan buku ini, saya rasa ulasan itu tidak memberi satu gambaran jelas mengenai apa yang Rebecca berikan pada keseluruhan antologi itu. Saya termenung seketika kerana sekiranya saya hanya membaca blurb itu, mungkin sukar untuk saya jatuh cinta dengan buku ini. Mujurnya tidak!

Apabila membaca catatan mula Rebecca mengenai projek antologi ini, saya sudah mula terasa kagum. Saya maklum karya-karya Rebecca sebelum ini, namun, oleh kerana ia sering muncul di akhbar perdana, saya surrender untuk membacanya! Kenapa? Tak tahan untuk menekuni tulisan di situ - melainkan kalau ceritanya benar-benar menggamit (yang pastinya jarang sangat terjadi .. hehe). Setiap satu cerpen ada kisahnya dan saya suka dan dalam masa yang sama menjadi cemburu - cemburu pada bakatnya dan cemburu pada kesempatannya untuk meneroka banyak perkara!

Terdapat 15 cerpen semuanya. Dan, daripada 15 cerpen-cerpen itu, yang jelas pada saya mengangkat 4 disiplin ilmu: Sains Politik dan Sejarah - dua bidang yang sangat mesra pada saya - dan dua yang tidak – Kejuruteraan dan Seni bina. Namun, yang mengujakan saya, jalinan keempat-empat bidang ini membuatkan saya yang tidak terdidik dengan ilmu kejuruteraan dan seni bina sedikit sebanyak boleh faham apa yang dimaksudkan penulis – terutamanya pada cerpen Mencari Tuhan di Celahan Cambrian dan Protokol Cinta serta Perca-Perca Cinta untuk Palestina. Malah, cerpen Mencari Tuhan di Celahan Cambrian memberi saya tambahan kefahaman kepada teori Darwin mengenai the origin of species itu. Dan, sekali lagi saya menyimpul rasa geram dan cemburu kerana Rebecca mampu memaham banyak fenomena sejarah dan politik dan menulisnya secara effortless! (hehehe, whatever does it means!)

Saya menyukai perkara ini kerana bagi saya, penulis dan pencerita yang baik haruslah pandai membuatkan orang senang memahami sesuatu yang sukar, dan untuk itu, Rebecca memang lulus cemerlang pada saya – cumanya, saya tak pastilah sama ada apa yang saya lahirkan dalam ulasan ini menjawab maksud penulis kepada pembacanya. Fikiran manusia kan dinamik, mencapah-capah dalam memaham suatu perkara itu kan sesuatu yang lumrah?

Dengan tag 15 cerita gadis perantau, Rebecca jelas membuai fikiran dan imaginasi saya. Sudah berkali-kali saya katakan bahawa saya ini bukanlah seorang yang boleh berimaginasi tinggi sangat kerana saya MALAS untuk melakukan demikian (maka, secara rasminya juga saya bukan seorang yang VISIONARY), namun, kesemua cerita Rebecca bagai mengajak saya melakukan begitu tanpa paksaan. Saya pun tak faham kenapa saya terasa semacam berada bersama dalam perbualan Mazlina dan Rodrigo Diaz di puncak Sierra Morena (cerpen ke 14). Haih!

Sememangnya antologi cerpen ini merupakan pembacaan yang worthwhile – kerana memang mengisi seluruh expectation saya.


Untuk anda? Reading this book is at your own risk!


P/s: Tapi saya kurang berkenan dengan cover buku ini. Kenapa? pandangan modelnya tajam sangat dan tiba-tiba membuat saya seram. Ntahapapa kan saya ni? hehehe

Saturday, June 19, 2010

Sekadar itu sahajalah …

Saya mengambil cuti panjang sempena cuti semester. Kemudian, kesempatan itu memberikan saya peluang bercuti ke Padang. Maka, pergilah ke sana untuk beberapa hari (12 – 15 Jun). Sejujurnya, saya kurang pengetahuan mengenai Padang kecuali pernah dilanda gempa tahun lepas. Selain itu, saya kira, nasi padang antara benda yang saya pernah dengar juga =p.


Bila sampai di sana, kami diunjurkan oleh pak supir (ya, pak supir rencanakan perjalanan kami kerana kami pergi tanpa sebarang perancangan dan saya hanya mengikut teman tanpa minat yang tinggi sebenarnya!) menuju ke Maninjau. Apa yang ada di Maninjau itu?


Danau Maninjau. Gunung Singkarak. Rumah Buya Hamka.


Hamka? Dan, tiba-tiba minda saya terasa sibuk sikit memproses apa yang saya tahu mengenai Hamka.


Hamka seorang ulama.

Hamka juga pengarang, dan saya pernah membaca Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck – namun hati saya tak tersentuh pun dengan cerita itu seperti kebanyakan orang.


Dan, 2 itu sajalah perkara yang minda saya boleh datangkan. Teruk betul!

Rumah Kelahiran Hamka, Danau Maninjau
Jun 13, 2010



Antara barang-banrang tinggalam Hamka

Semasa sampai ke teratak Buya Hamka, keadaan sekitar sunyi dan tenang dan pintu pagar tersenggang sedikit. Khuatir juga sekiranya teratak itu tidak dibuka. Namun, seorang pekerja yang sedang membersihkan rumput di laman rumah itu terus mempelawa kami masuk. Tidak lama kemudian, kami didatangi pengurus rumah tersebut, Pak Hanif Rasyid. Bertanya kami dari mana dan kemudiannya dia berbual-bual dengan pak supir dalam dialek Minang – saya macam faham, tapi entahlah.

Pak Hanif Rasyid
Pengurus Muzium Rumah Hamka

Jun 13, 2010

Oleh kerana saya tidak bersedia ke sini, terasa rugi sebenarnya apabila tidak dapat berbual panjang dengan Pak Hanif itu kerana pastinya beliau punyai banyak cerita mengenai Hamka. Khabarnya Pak Hanif bersaudara dengan Buya Hamka. Malah, jika diamati, rupa mereka hampir seiras. Sudahnya, saya hanya mampu menyampuk sikit-sikit penerangan Pak Hanif – sekadar apa yang ada di minda. Saya harapkan rakan yang ada bersama boleh lebih membantu kerana dia memang menghadami bidang pemikiran tokoh-tokoh, tapi ….

Akhirnya, apa yang kami mampu buat? Ambil gambar sahaja. Sudahlah tidak berpeluang bertemu beliau semasa hayatnya, sudah berpeluang begini pun, sekadar itu sajalah. Kesal! Sebal!

Lihat? Sekiranya tidak bersedia dan sering dalam ignorance? Beginilah jadinya. Peluang semua pun terlepas.

Kata Pak Hanif – Hamka itu ibarat kelapa condong.

Saya tanya – maksud Bapak?

Jawab Pak Hanif - lahirnya jauh di hujung Maninjau ini, tapi masyhurnya jauh di Malaysia sana …

Saya melongo! Ada malu. Ada segan. Serasa ayat Pak Hanif itu menempelak saya - tokoh sebegini besar, begini saja perhargaan kamu?

Aduh!

Bila habis mengelilingi rumah, terasa malu pun ada, kerana tokoh yang sebesar ini sebenarnya tidak pernah saya kisahkan selain daripada fakta dia adalah ulama dan pengarang besar. Tak pernah saya hiraukan apa pandangan beliau, bagaimana pemikiran beliau.

Nampaknya list subject study saya akan menjadi panjang selepas ini!


Pemandangan indah ke Tasik Maninjau dari dalam rumah Hamka
Jun 13, 2010


Tuesday, June 1, 2010

Begitukah?




Saya sedang susah hati kerana dituntut menghasilkan satu kertas refleksi (reflection paper) berdasarkan daripada ucapan Tun Dr. Mahathir di kampus kami tahun lepas. Mulanya dateline untuk tugasan ini adalah pada 15 Mei yang lalu, namun telah dilanjutkan hingga ke 31 Mei (semalam). Tapi, memandangkan tiada siapa yang siap (ada lebih kurang 7 orang yang dipertanggungjawabkan untuk menulis kertas ini), editor telah bermurah hati untuk melanjutkan hingga ke hujung minggu ini!

Apa ceritanya? Mengenai apa?

Hari itu Tun datang memberi ceramah mengenai Ketuanan Melayu – semasa isu ini masih hangat diperbualkan. Dan, saya juga telah berkali-kali menonton CD rakaman ceramah tersebut. Malangnya, setiap kali menghadap komputer, saya menjadi buntu. Hingga ke saat ini, saya masih kelam mahu menulis mengenai apa.

Apa yang Tun berikan memanglah menarik, namun saya masih tak punya idea untuk menilai apa yang Tun katakan dari dimensi mana. Saya rasa kesemuanya telah dibicarakan oleh orang lain. Mungkin saya terlalu ambitious! Tapi, buat apa menulis kalau saya tak boleh memberi sesuatu yang refreshing? Arghhhh!

Semalam saya terbaca bab kedua terakhir buku The Myth of the Lazy Native karangan allahyarham Prof. Syed Hussein al-Atas (PSHA)
heh! Bunyi macam nama saya! Dan, kami berkongsi tarikh lahir yang sama juga!kenapa terbaca? Kerana terjumpa tatkala mencari idea … bab itu bercerita mengenai The Distortion of Malay Character.

Sebelum itu – saya sememangnya mengagumi PSHA ini, namun saya rasa karyanya tersangat berat untuk saya hadam. Semasa mempelajari subjek Political Theory – terutamanya Reading in Muslim Political Thoughts, lecturer saya ada memasukkan karya Syed Hussein sebagai satu assigned reading. Dan, kerana saya adalah antara pelajar yang malas, saya hanya baca versi yang paling ringkas – nota kawan saya! Buruk betul perangai.

OK, apa yang menarik mengenai bab ini pada saya adalah bagaimana PSHA menangkis apa yang ditulis oleh Tun Dr. Mahathir dalam The Malay Dilemma dan Revolusi Mental susunan Encik Senu Abdul Rahman (Tan Sri). PSHA menyatakan apa yang digarap oleh Tun dalam the Malay Dilemma adalah sesuatu yang oversimplified, kerana Tun bukanlah di antara yang terbiasa dengan disiplin sains sosial. Antara perkara yang dibahaskan adalah mengenai tuduhan petani-petani di Kedah dan Perlis yang katanya malas dan hanya bekerja dua kali setahun.

Yang paling membuatkan saya tertarik dengan bab ini adalah berkaitan dengan perumpamaan (saying) yang terdapat di dalam bahasa Melayu. Kata PSHA, ada orang menganggap bahawa dek kerana orang Melayu banyak perumpamaan yang negatif, maka itulah yang memburukkan imej Melayu pada orang lain.

Seperti perumpamaan “hangat-hangat tahi ayam” yang digunakan untuk menggambarkan bahawa orang Melayu ini kebanyakannya selalu kurang kesabaran dan ketekunan dalam melakukan sesuatu dan “rezeki sechupak (sic) tidak akan menjadi segantang” yang menunjukkan bahawa orang Melayu selalunya berserah kepada takdir (fatalism). PSHA mengatakan bahawa tidak semestinya wujud perumpamaan begitu menunjukkan bahawa bangsa itu bersifat begitu. Ini adalah kerana, menurut beliau, saying perlu diperjelaskan jenisnya kerana ia ada 3 jenis – advocative (sic), prohibitive dan descriptive.
Maka, perumpamaan “hangat-hangat tahi ayam” itu adalah bersifat prohibitive kerana wujud elemen rasa tidak setuju (disapproval) dan elemen cemuhan (sneer) dan bukannya sesuatu yang advocative seperti yang didakwa di dalam buku Revolusi Mental itu. Perupamaan kedua pula digunakan untuk menggambarkan sikap fatalism Melayu itu – padahal, kalau diteliti kepada perumpamaan itu, ia sebenarnya lebih menggambarkan bahawa Melayu itu berserah kepada takdir tapi mempercayai bahawa perbuatan seseoranglah yang banyak mempengaruhi takdirnya. Contohnya, sekira orang itu berusaha keras, pasti dia dapat mengubah takdir kerana takdir itu ada dua sifat – berubah dan tetap, sedangkan fatalism lebih bermaksud sifat tidak mempercayai sebarang usaha akan mengubah takdir.

Satu lagi perkara yang saya suka adalah mengenai gambaran kemalasan orang Melayu itu (indolence). Bagi PSHA, beliau lebih berpendapat bahawa indolence itu lebih tepat menggambarkan kelompok elit dalam bangsa Melayu dan bukannya rakyat biasa!

Orang Cina juga bukanlah lebih rajin daripada orang Melayu, tetapi dek kerana mereka itu dilihat lebih industrious dari kaca mata kapitalis berdasarkan kepada aktiviti ekonomi mereka, jadi tampaklah mereka itu lebih rajin. Padahal, indolence itu berlaku pada semua bangsa.



Selepas habis membaca bab ini, saya jadi makin kelam dan serabut. Di satu bahagian saya menimbang apa yang dikatakan Tun, dan di satu bahagian lagi, PSHA mengemukakan logik yang tidak boleh saya nafikan. Mana satu yang mahu saya lakukan? Ke mana hendak saya bawa arah refleksi saya?

Aduhai!



P/s: Saya teramat bersetuju dengan kesimpulan ini:


“Suffice it to say there is a growing anxiety amongst the Malay leaders in power that the situation of the Malays have not substantially improved. Publicly they do not admit that this is largely on account of corruption, nepotism, bad implementation of plans, and lack of institutional innovation. Their statements throughout the years that the people must respond indicate their anxiety that the people are not responding. Of course to assess this we have to know the issues, only then can we attribute responsibility either to the people or to the government. I have in this book merely attempted to prove the existence of this anxiety and its function as a motivational source to paint the Malay community in negative colors, so that the latter can be held responsible if the party in power fails to realize its declared objectives.”

(The Myth of the Lazy Native, halaman 181)

Monday, May 10, 2010

Dewey: The Small-Town Library Cat Who Touched the World by Vicky Myron



Saya rasa pertama kali saya dengar mengenai Dewey ini adalah daripada Najibah. Namun, puas mencari, tak ada pula catitannya mengenai Dewey. Tapi saya memang pasti, ia memang dari Najibah!

Buku ini saya beli dengan pakej 2 + 1 di Popular. Satu lagi cerita mengenai pet juga, The Art of Racing in the Rain (cerita mengenai anjing) - tapi belum mahu baca.

Kali pertama melihat buku ini, saya tertarik dengan cover nya. Gambar seekor kucing berwarna oren berjalur putih (atau putih berbelang oren?). pandangan matanya seperti memanggil-manggil dan menggamit perasaan … (ok, sedikit penipuan di situ. Tapi, Dewey memang handsome bagi seekor kucing).

Sedikit mengenai Dewey.
Dewey adalah seekor anak kucing yang telah diletak (dibuang?) ke dalam kotak pemulangan buku di Spencer Public Library ketika berusia lebih kurang 8 minggu. Lemah dan kesejukan, Dewey diambil oleh pengarah perpustakaan tersebut, Vicky Myron dan dipelihara di dalam perpustakaan tersebut. Dewey kemudiannya membesar dan disayangi hampir semua warga Spencer. Ia adalah seekor kucing yang sensitif kepada manusia. Menurut Myron, Dewey sangat hebat PRnya.

Saya paling tertarik bagaimana Dewey membuatkan Crystal, seorang kanak-kanak perempuan yang bergerak di atas kerusi roda, tidak boleh bercakap dan mempunyai keupayaan yang lemah untuk mengawal otot-ototnya. Dewey tahu Crystal tidak berapa menyukainya, namun ia dapat mengubah perkara itu. Paling menggembirakan, Dewey mampu membuatkan Crystal boleh membuat bunyi (vocalizing) dan mengawal otot-ototnya. Ternyata Dewey bukan sebarang kucing.

Yang menarik lagi tentang Dewey adalah obsesinya terhadap anak gadis Myron, Jodi. Apabila Dewey dibawa pulang ke rumah Myron untuk cuti umum yang panjang, Dewey seperti kemaruk cinta dengan Jodi – ia akan berkepit dengan Jodi dan mengekori Jodi ke mana saja. Kata Myron, Jodi adalah sweetheart nya selamanya. Dan banyak lagilah telatah-telatah Dewey yang menggembirakan.

Dewey memang terkenal (tapi saya baru kenal ia melalui novel ini). Melalui novel ini juga, saya baru tahu bahawa adanya perpustakaan yang membenarkan haiwan-haiwan dipelihara di premis itu! Tapi, semestinya tidak berlaku di Malaysia ini, kan? (eh, kalau ada, ceritakanlah kepada saya ya?).

Dewey menghuni Spencer Public Library selama 18 tahun (Januari 1988 – November 2006) sehinggalah ia ditidurkan kerana masalah penghadaman yang dihidapinya. Mayatnya dibakar dan abunya diletakkan berdekatan dengan tugu peringatan yang didirikan Myron bagi mengingati mendiang ibunya.

Ceritanya memang cerita biasa sahaja. Namun, keluarbiasaan perhubungan manusia dan kucing itu sebenarnya yang memaknakan cerita ini. Saya kagum dengan segala sifat yang ada pada Dewey dan saya juga kagum dengan sikap Myron dan kesemua staff Spencer Public Library yang sangat menyayangi Dewey, melayan Dewey seolah seorang manusia.

Lebih daripada itu, saya rasa Dewey memberi pengajaran mengenai peranan setiap makhluk di dunia ini. Membenarkan bahawa tiada kejadian Allah itu sebarang kesia-siaan. Cumanya, bila Allah tinggikan kita dengan akal melebihi makhluk yang lain, kita punya banyak sangat persoalan, pandangan dan nilaian yang kemudiannya membuatkan kita terlupa bahawa syarat menjadi hamba yang baik adalah menjalankan semua perintah tuannya tanpa sebarang persoalan. Mungkin itu boleh dijadikan renungan walaupun pengajarannya datang dari seekor kucing!

Selebihnya, ia mengimbas kembali kepada kenangan saya bersama-sama 4 ekor kucing berona seperti Dewey yang pernah saya ada – Combat, Dinky, Ren dan Syed.

Thursday, April 29, 2010

Jaja & Din by Noor Suraya

Cover dari sini


Kadang-kadang saya amaze dengan dengan diri sendiri. Kenapa? Adakah ini entry yang bersifat memuji dan memuja diri sendiri? Relax .... baca pelan-pelan.

Amaze dengan diri sendiri, yang boleh menghabiskan baca novel dengan sekali go di saat kerja melambak dan kritikal. Sesungguhnya, waktu-waktu beginilah konsentrasi dan kemahuan untuk membaca (yang sepatutnya diisi di waktu lapang terjadi) membuak-buak. Dan, bukanlah dalam hal membaca saja ... dalam hal menulis blog pun.

Maka, apa kesimpulannya?

Perlukan pressure yang kuat untuk menyempurnakan kerja? -- Saya pun syak begitu juga!

OK, ini buku yang saya habiskan semalam - habis pukul 3am.

Semalam saya dapat MC kerana ears abscess. Dan, selepas habis menanda 2 bundles skrip jawapan (ada 42 keping saja), maka saya mulakan pembacaan.

Oh, sebelum tu, buku ini pertama kali saya dapat tahu adalah di laman Goodreads, pada senarai buku pembaca-pembaca di sana. Tajuknya biasa, dan saya tidak mengagak ceritanya luar biasa (biasalah, skeptikal yang tidak berasas). Isnin lepas, lepas balik dari service kereta, singgah ke Popular dan nampaklah novel ini. Bila dah nampak, teringat pula orang di Goodreads dah baca, maka, semestinya saya kena beli! Blurb pun tak baca betul-betul. Haih!

Noor Suraya pernah saya dengar namanya. Namun, saya tak fikir saya pernah membaca karyanya. Semasa membawa plastik berisi buku ini ke kereta, saya berkira-kira ini akan akan jadi bacaan suka-suki [memang pun, kerana naturenya. Tapi, suka-suki yang suka-sukaaaa rupanya!).

Premisnya biasa saja - cerita bagaimana orang mencari cinta dan bagaimana cinta boleh merobah seseorang. Namun, yang buat saya tertarik pada bacaan baris pertama, adalah cara naratifnya.

Cerita ini dikisahkan dari pandangan Jaja (Faiza Dr. Badrul Hisyam). Jaja bercerita mengenai kehidupannya, keluarganya, pekerjaannya (sebagai media planner) dan gaya hidupnya. Maka, ia membuatkan kita berbual-bual dengan dengan penceritanya. Saya pernah baca novel yang begini, namun, novel ini membuatkan saya 'terasa' Jaja memang bercerita dengan saya. Tahniah saya yang pertama.

Kemudian, masuk cerita bagaimana Jaja mencari cinta hatinya - Din / Burhanuddin al-Helmy Hj. Mustafa - love at the first sight bila dia terpandangkan wajah Din di lensa kamera kawannya, Mie / Suhaimi yang diambil untuk satu iklan komersil hari raya 2003. Saya tidak peduli logik ke tidak ceritanya, kerana semuanya boleh diterima. Setelah semakin lama hidup, semakin saya sampai kepada satu konklusi, sememangnya dunia ini kecil sahaja (apalah inferen begitu!). Kenapa kecil? Tak pasti, tapi itu yang saya rasa ... hehehe!

Jaja kemudiannya berusaha mencari dan mengesani Din - dan dalam perkara ini, mereka sebenarnya telah beberapa kali crisscross each other (biasalah tu, unsur dramatik dalam penceritaan). Setelah tidak berjumpa, Jaja masih setia menunggu bayang-bayang walaupun tidak pasti Din itu wujud ataupun tidak (hampir 2 tahun Jaja menunggu). Walaupun bahagian ini tampak macam ala-ala surreal, tapi saya masih boleh terima dengan senang hati. Saya boleh relate dengan diri saya.

Relate yang mana? Part mengejar bayang-bayang ke? -- hahaha .. biarlah rahsia!

Kemudian, masuk klimaks penceritaan Jaja, bila dia sudah pasti menemui Din. Saya menyukai bahagian ini. Dan, kemudian babak Jaja mencari keserasian kehidupan dengan Din setelah mereka berkahwin. Ada ketika saya tersentak dengan apa yang Din ucap dan tegurkan kepada Jaja, dan ada ketika-ketika, saya bersetuju dengan apa yang Jaja fikirkan walaupun saya tak suka dengan apa yang Jaja buat.

Jaja di awal cerita semacam sedikit tegas dan keras, tapi setelah bercinta dengan Din, menjadi lurus dan mellow. Saya tak pasti ini disengajakan oleh penulis untuk menunjukkan Jaja itu boleh berubah kerana cinta atau apa. Tapi, saya tetap suka dan sayangkan Jaja. Tahniah lagi.

Watak Din itu pula, saya kira watak tipikal ustaz-ustaz terutama yang belajar di Timur Tengah (Din adalah lulusan Sastera Arab dari Al-Azhar University). Lokek untuk beromantis dan kadang-kadang keras kayu komunikasinya. Sedikit syadid dan ala-ala Fakhri dalam AAC (pada saya lah). Tapi, ada ketika, Din jadi macam ustaz Aidil dalam Nur Kasih juga ... hahaha. Apa sajalah saya ni! Apapun, yang membuatkan saya senang kerana watak mereka seimbang dengan keseimbangan yin dan yang itu (keterlaluankah ulasan ini?). Dan, lagi, watak keluarga Din pun saya boleh terima kerana itu adalah keadaan yang selalu saya dengar dan lihat (contoh keluarga yang agak kuat Islamnya, namun ada perbuatan-perbuatan yang mungkin tidak disedari akan membuatkan orang akan sedikit hampa dengan slogan Islam is a way of Life!). Anda kena baca, mungkin baru anda boleh faham maksud saya ini.

Satu lagi yang buat saya cepat saja habiskan pembacaan kerana latar tempat dan dialognya dalam dialek utara yang sangat saya maklumi. Saya tidak pernah terfikir akan terjumpa perkataan 'tidur' yang diutarakan sehabisnya hingga menjadi 'tidork' dan 'habag' menjadi 'habark' -- betul-betul menjaga mahraj huruf! Tapi, kenapa Bang Chak tak dieja 'Bang Charq'? Kalau tak ... lagi nalla la bunyi ... pure!

Kesimpulannya - novel ini beri saya rasa gembira. Walaupun ada tempat saya menangis (waa, cembeng!), namun saya tidak depress. Saya masih merasakan bahawa, biarlah bagaimana kuatpun dugaan yang diterima, dugaan itu pastinya tidak melebihi apa yang kita sanggupi. Dan, kebahagiaan itu itu bukan pada pandangan orang, tapi pada apa yang kita rasa.

Kekuatan novel ini adalah bagaimana penulis dapat membuatkan saya merasa sedih dengan apa yang berlaku pada sebahagian kehidupan Jaja dan Din, tapi dalam masa yang sama kesengsaraan itu disaluti dengan kegembiraan menanggapi hidup. Atau dalam bahasa mudahnya, sedih itu ada, tapi kenapa mahu mengenang kesedihan di saat kita banyak mempunyai perkara-perkara yang menggembirakan!

Happy ending
! =)


Pendek kata, saya suka lah novel ini --[awas, pendapat ini mungkin bias! Saya tidak akan bertanggungjawab sekiranya anda mendapati ia adalah sebaliknya!].


Satu persoalan:
Kenapa Jaja dipanggil Mak Chak oleh anak-anak saudara sebelahnya, sedangkan dia sepatutnya berpangkat Mak Long? Kalau di pihak keluarga Din, betullah Jaja itu Mak Chak. Sedikit confuse atau memang begitu praktisnya?

Monday, April 26, 2010

Tajuknya? Waduhhh!

Ya, ya, saya tahu. Tak payah nak kenyit-kenyit mata. Dah lama dah saya sedar, tapi tak cukup kuat untuk memotivasi saya menulis.

Dah, dah, abaikan. Mana larat, every time nak menulis setelah lama terhenti, mesti nak kena bagi reason. Dah .. dah ...

OK, apa kena tajuk tu?



Seperti pembaca-pembaca semua, saya ada penulis favourite. Ada yang saya minat secara obses, dan ada yang saya minat secara selektif. Apa yang obses dan selektif tu?

Untuk penulis yang diminati secara obses, selalunya saya akan membeli dan MEMBACA buku mereka tanpa banyak soal. Tak kisah apa ceritanya. Kadang-kadang blurb nya pun saya tak baca. Ambil, bayar, dan baca.

Dan, untuk yang saya minati secara selektif, perkara pertama yang akan dilihat - tajuk. Kemudian, baru plot cerita.

Point saya:
Adakah tajuk memainkan peranan dalam menentukan pembelian dan pembacaan sesebuah buku?

Bagi saya, ya.

Bukan sekali dua saya rasa tertipu bila membaca tajuk yang menarik, blurb yang mengundang rasa, tapi cerita yang entah apa-apa.

Anda bagaimana?

Tu saja lah yang saya nak catitkan.

Sakit hati? Hehehehe.

Tajuk yang memancing!