Wednesday, November 21, 2012

Wordless Wednesday

Samila Beach, Hadyai
Nov. 16, 2012


Picture by yours truly

Samila Beach, Hadyai
Nov. 16, 2012

Picture by yours truly

Monday, November 19, 2012

Weird Things Customers Say in Bookshops by Jen Campbell

Image: Google


Selesai membaca buku ini, saya terfikir, Subhanallah yang menciptakan manusia ini dengan pelbagai ragam dan tingkah laku. Hebat Yang Maha Kuasa!

Sememangnya koleksi mengenai perkara-perkara aneh yang diucapkan di kedai buku ini menepati tajuknya. Dan, ia memang membuatkan kita terdetik -- Ya Allah, macam ni pun ada?

Buku ini sebenarnya pertama kali saya ketahui melalui Tuan Tanah. Apabila membaca review beliau, saya sangat tertarik untuk membacanya. Lama juga saya cuba-cuba cari di kedai-kedai buku besar di Malaysia, tapi hampa. Akhirnya saya memesan kepada dia untuk dibelikan naskhah ini. Gembira tak terkata apabila akhirnya buku ini selamat sampai ke tangan saya sebulan yang lepas. 

Buku ini bukan sekadar menghiburkan, tapi memberikan saya lebih daripada itu. Darinya saya belajar mengenai buku-buku klasik yang tidak pernah saya ketahui sebelum ini, nama penulis yang tidak pernah saya dengar dan paling penting, saya jadi kagum dengan sikap pemilik kedai buku di luar negara melayan pelanggan - mereka sangat mencintai buku dan tahu banyak perkara mengenai buku yang dijual.

Setakat hari ini, jarang (tak pernah sebenarnya) saya temui seorang penjual di kedai buku yang boleh mencadangkan saya apa-apa tajuk buku yang berpotensi untuk saya beli. Yang selalu terjadi, penjual akan tersenyum gelabah sambil memberikan jawapan, "Maaf Cik, saya tak tahu mengenainya!." Itu sebenarnya lebih baik daripada mereka yang menunjuk ke arah rak dengan muncung mulutnya sahaja!

Dek kerana terbiasa dengan keadaan ini, saya pun jadi biasa. Dan, saya menyimpan angan-angan untuk membeli buku di kedai buku seperti di dalam buku itu suatu hari nanti!

Saya berikan 4/5 keseluruhannya.

Dan ini adalah sebahagian daripada cerita-cerita aneh yang diucapkan oleh pelanggan yang saya rasa sangat menarik:

CUSTOMER: Do you have this children's book I've heard about? It's supposed to be very good. It's called 'Lionel Richie and the Wardrobe". (h. 112)

------

CUSTOMER: Do you have this book in stock? (Shows Amazon print out)
BOOKSELLER: We don't, I'm sorry. It looks to me that it was only publishes in America ...
CUSTOMER: But I checked online and it said you had it.
BOOKSELLER: Ah, on our website?
CUSTOMER: You have a website? (h. 106)

------

CUSTOMER: I've just discovered that I'm Brad Pitt's sister and David Cameron's cousin. Is there a biography about me? (h. 104)

------

CUSTOMER: I don't know why she wants it, but my wife asked for a copy of The Dinosaur Cookbook.
BOOKSELLER: The Dinah Shore Cookbook?
CUSTOMER: That must be it; I wondered what she was up to. (h.103)

------

BOY: Mummy, can I have this book?
WOMAN: Go and see if your dad will buy it for you.
BOY: Dad! Mummy says if you don't buy me this book, then you can't sleep in her bed tonight! (h. 100)

------

CUSTOMER: Do you have a book on the Enlightenment?
BOOKSELLER: Sure.
CUSTOMER: Excellent. My son's just about to start studying it at school. It's all about the light bulb being invented, right? (h. 71)


Menarik bukan? 

Dan, antara kesan daripada membaca buku ini, saya pun terasa mahu menulis mengenai Weird Things My Students Say in Classrooms, sebab, saya juga kadang-kadang didatangi persoalan-persoalan yang sangat aneh dan boleh menyebabkan saya bereaksi "huh?" dengan pelajar-pelajar saya. Antara yang paling saya ingat:

"Cik, Israel tu Amerika ya?"

Aduh!


Selamat membaca!

Saturday, September 29, 2012

Untuk Tiga Hari : Catatan Rawak

Saya selalu bias dengan banyak perkara. Kalau ada orang mengunjukkan satu buku baharu, saya akan pastikan penulis itu saya kenali – kerana, kalau tidak, buku itu mungkin akan kekal di rak tanpa dibaca. Begitu juga dengan benda lain. Dalam konteks filem, apabila filem ini dikatakan suatu produk daripada Afdlin Shauki, saya terus excited mahu menonton kerana baik atau buruk filem Afdlin, ia akan sentiasa baik pada saya. Begitulah biasnya saya.



Picture by Google

Filem ini saya tonton pada hari PM membentangkan belanjawan 2013. Saya memang tidak berminat untuk mengetahui mengenai perkara itu dan tidak kisah apa yang saya akan dapat. Lantas, ada kawan yang menulis di FB saya: “Berhati-hati Pisha … PM takkan bagi bonus kepada orang yang tidak menonton pembentangan bajet petang ini..”

Pedulikan!

Seperti biasa, partner in crime saya, Kak Marina saya heret sekali. Dia pun suka juga nak menonton filem ini kerana tertarik dengan Behind the scene yang ditayang beberapa kali di ASTRO. Tiada expectation yang tinggi (walaupun ia filem Afdlin) kerana fenomena pembikinan dan penayangan filem di Malaysia ketika ini adalah bersifat monotonous. Tema dan topik yang dikitar semula berkali-kali.

Seperkara lagi, filem ini adalah adaptasi daripada novelis prolifik – Ahadiat Akashah. Antara penulis kegemaran pada zaman remaja saya dulu – walau bagaimanapun, saya tidak membaca karya epiknya LBS itu. Saya paling suka novel Bunga Jantan (tapi saya sudah lupa plotnya).


Ok, ini catitan rawak saya mengenai filem itu:



  • Jodoh itu ketentuan Allah – siapalah kita yang boleh mengubahnya? – namun, saya lebih tertarik pada pengajaran bahawa kita masih boleh memilih apa yang kita mahu. Ketentuan Allah itu satu hal, namun, Allah masih sudi memberikan kita peluang memilih. Mungkin keupayaan manusia untuk memikirkan hikmah suatu kejadian menjadikan kita redha dengan apa yang dibentangkan kepada kita. Cliché bukan? Tapi itulah yang selalunya terjadi. 
  • Apa yang ada tidak disyukuri, apa yang tiada sering dirisaukan. Bukan bait nasyid kumpulan Raihan, tapi menggambarkan apa yang selalunya kita buat. Walaupun ada nasihat yang mengatakan bahawa fight till the end, ada perkara yang seharusnya kita sedar dan faham telah sampai ke hujungnya. Afin patutnya sedar bahawa, apabila Ujie bernikah dengan orang lain, perjuangan cinta itu harus selesai. Itu noktahnya. Namun,Afin masih mahu mencuba – dan akhirnya melepas semuanya. 
  • Babak bagaimana Armin (Afdlin) memulangkan telefon bimbit Ujie yang ditinggalkan di dalam kereta paling saya suka. Ia seolah trade mark Afdlin untuk cerita komedi romantiknya. Momen yang begitu serupa juga berlaku dalam filem Soalnya Hati dan Soalnya Siapa dulu. 
  • Pada saya, adalah lebih baik kalau Zizan Nin itu menggantikan Rashidi kerana Zizan lebih sesuai sebagai mommy’s boy daripada Rashidi. Memek muka dan geraknya lebih meyakinkan. 
  • Vanida Imran sangat cantik dan pakaiannya cantik-cantik belaka. Terutamanya dress yang dipakai dalam babak mereka di kelab. Memukau!
  • Saya sebenarnya lebih mahu tahu tahu kisah Balqis (Dira Abu Zahar) – patut dikembangkan juga sedikit. 
  • Cerita ini pada keseluruhannya mendatar sahaja, kerana boleh diteka apa yang akan berlaku seterusnya. Saya terlelap beberapa kali, namun masih tidak ketinggalan ceritanya. 
  • Kontroversi yang ditimbulkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Perak itu saya tidak pasti berlaku pada babak mana. Andai cadangan Afin untuk menyuruh Ujie dan dirinya bercerai dari pasangan masing-masing setelah tiga hari berkahwin itu membawa maksud boleh merungkaikan ikatan perkahwinan Vee dan Shidi, saya kena mentelaah lebih lagi bab Munakahat. Tidak pasti sama ada Satuk Mufti menonton filem ini untuk membuat kesimpulan tersebut atau disuruh orang untuk memberi komen.

Picture by Orang Perlis


Picture by Orang Perlis

2.5 bintang dari 5 bintang keseluruhannya.


Monday, September 17, 2012

Sebuah Ingatan di Hari Lahir



September 17, 2012

Sejak 2-3 tahun kebelakangan ini, hadiah hari ulang tahun kelahiran yang paling acap saya perolehi adalah buku. Saya gembira kerana saya juga suka mengingati hari istimewa rakan yang lain dengan menghadiahi mereka dengan benda yang sama.

Tahun ini juga tidak terkecuali -- dan saya rasa agak berat pembacaan saya kali ini.

Barangkali si pemberi itu menilai dengan bertambahnya umur saya maka, pembacaan saya harus lebih ditambah beratnya. =)

Dibelek-belek pada kartu ucapan, fahamlah saya maksud pemberi itu .. dengan quote ini:


"The man who does not read good books has no advantage over the man who can't read them." (Mark Twain)

Oh my!

Saturday, September 1, 2012

No one can hurt you without your consent


**Read it somewhere some times ago. This a powerful statement and if we can master it.

On the first day, as President Abraham Lincoln entered to give his inaugural address, just in the middle, one man stood up. He was a rich aristocrat. He said, “Mr. Lincoln, you should not forget that your father used to make shoes for my family.” And the whole Senate laughed; they thought they had made a fool of Abraham Lincoln.

But Lincoln --- and that type of people are made of a totally different mettle. Lincoln looked at the man and said, Sir I know that my father used to make shoes in your house for your family, and there will be many others here…. Because the way he made shoes; nobody else can. He was a creator. His shoes were not just shoes; he poured his whole soul in it. I want to ask you, have you any complaint? Because I know how to make shoes myself. If you have any complaint I can make another pair of shoes. But as far as I know, nobody has ever complained about my father’s shoes. He was a genius, a great creator and I am proud of my father”.

The whole Senate was struck dumb. They could not understand what kind of man Abraham Lincoln was. He was proud because his father did the job so well that not even a single complaint had ever been heard.


Remember:
It is not what happens to us that hurts us. It is our response that hurts us.


Sunday, July 29, 2012

Bukan Sekadar Resepi: Roza Roslan



Picture by Google


Apabila buku itu terkedang di atas meja kerja dan dilihat orang, akan keluarlah soalan:
"Eh, kau nak memasak eh? Best ke resepi dalam ni?"

Cliché! Teringat pula kepada kisah penanya kepada siri Chicken Soup for Souls saya! (yang itu saya cerita lain kali)

Satu perkara yang nyata, saya beli buku ini bukan kerana nak belajar resepi di dalamnya (walaupun resepinya memang memikat, namun untuk a lousy cook seperti saya, ini bukan tarikan), tapi kerana terpikat pada setiap buah tangan penulisnya - Pn. Roza.

Seperti buku-bukunya yang lalu, semua ceritanya sudah saya baca. Kiranya, dalam buku ini terdapat banyak pengulangan kisah daripada 2 bukunya yang terdahulu: Review saya di sini dan sini. Namun, buku ini disusun mengikut temanya, sebagai anekdot kepada setiap resepi yang disertakan.

Memang saya selalu tertarik pada anekdot - tak kiralah pada apa keadaan pun. Pada saya, ia dapat menambahkan imaginasi saya terhadap apa yang dimaksudkan oleh penulis, dan buku ini tidak terkecuali. Tercuit dan tersentuh hati dan jiwa saya kala membaca kisah di sebalik setiap resepi. Kata orang, makanan boleh menjadi memori menggembirakan dan tak kurang menjadi duri di hati. Saya ada 2 makanan yang menepati kedua-duanya. Namun, saya tak rasa saya akan mampu menulisnya sampai bila-bila.

Gaya penulisan Pn Roza masih seperti karyanya yang terdahulu. Apa yang membuatkan saya tertarik, adalah pada rasa kejujuran bercerita itu. Jujur, maksudnya sudi berkongsi sebarang rasa - paling utama rasa ego, dan rasa yang mungkin akan memalukan pencerita itu sendiri dengan cara yang santai. Pada saya, besar risikonya berterus-terang begitu - kerana ia akan menyebabkan makin berkuranglah 'rahsia' kita. Tapi, pada satu sisi yang lain, mungkin si pencerita akan lega kerana tiada beban untuk menyimpan perkara begitu. Saya tabik pada Pn. Roza!

Cerita resepi yang paling menarik? Ayam goreng istimewa.

Cerita bagaimana anak beliau - Amirul dan Sofea - menggunakan akaun Facebook nya untuk membuat pesanan dan bayaran terhadap tepung goreng ayam berperisa dari Malaysia melalui rangkaian ibu mereka yang menjadi tetamu di Al-Haram melucukan. Namun, yang buat saya terpikat pada bab bagaimana kisah adik Pn Roza - Razif dan Ayu (allahyarhamah) berebut bahagian ayam yang sama ketika masih kecil - siap dengan segala aksi dan tenungan mata yang tajam.

Membesar pada sekitar awal 80an, saya pun masih mempunyai kisah berebut begini dengan adik-adik - ayam pada masa itu masih menjadi juadah istimewa dan bukan selalu ada di meja makan. Selalunya, emak akan memotong kecil setiap bahagian, dan menggorengnya. Dan, selalu juga, apabila memasak lauk tengahari, lauk yang sama juga akan dipanaskan apabila tiba waktu makan malam. Untuk mengelakkan kehabisan lauk di waktu malam, mak akan menyembunyikan portion ayam goreng untuk makan malam nanti di tempat-tempat yang strategik - antaranya di dalam tong beras, di bawah timbunan periuk dan di celah-celah dapur. Tapi, oleh kerana anak-anaknya memang punya deria bau yang superb, usaha mak selalu gagal. Tapi, kami pun tidaklah menghabiskan semua yang kami jumpa - selalunya kami gigit sedikit, dan simpan balik baki ayam yang telah digigit itu .. hehehe. Mak tahu yang kami tahu mengenai perkara ini, namun, mak tak kisah. Tetap juga mak buat begitu. Kini peristiwa itu menjadi usikan setiap kali berkumpul dan bercerita.

Keseluruhannya, saya suka mengulang baca kisah-kisah ini semua kerana banyak dari cerita itu relate dengan diri saya. Dan, pencerita yang boleh membuatkan kita relate dengan penceritaannya adalah pencerita yang sememangnya menulis dengan bukan sekadar resepi ...


P/s: Satu resepi yang telah diuji oleh Kak Marina daripada buku ini ialah Sambal Goreng Bebek (h. 108). Sedap katanya.

Wednesday, July 25, 2012

Monday, July 16, 2012

Ahah!



The trouble with Malaysian is that when they want to write a book, they want it to be perfect. In the end, they don't write anything at all.

Mohamed Suffian, J (Lord President of Federal Court)

Sunday, July 15, 2012

Ice Age 4: Continental Drift

Banyak filem animasi menarik tahun ini - dan banyak juga yang saya tonton. Ice Age 4 adalah yang terbaru - ditonton di TGV Mesra Mall bersama Kak Marina semalam (14 Julai 2012).

Picture by Google

Masih berkisar mengenai kehidupan Manny, Ellie, Sid, Diego dan rakan-rakan mereka yang lain. Filem dimulakan dengan kisah bagaimana dunia ini terpecah menjadi benua-benua terpisah - adalah kerana kegilaan / obsesi Scrat memburu acorn (kamus Dewan menterjemahkan ia sebagai buah pokok ok - bukan oak). Kalau mahukan spoiler, baca di sini.
  • Babak keluarga Sid berusaha mencari Sid kerana mahukan Sid menjaga Granny yang sudah renta (dianggap dead weight) dan kemudiannya meninggalkannya sedikit menyentuh hati. 
  • Rupanya anak remaja mammoth juga punya masalah yang sama seperti anak remaja manusia! - Peaches menaruh harapan pada Ethan yang cool dan hip, yang tidak takut pada bahaya. Namun, Ethan seperti tidak menyedari kehadirannya. Dalam masa yang sama, rakan baik Peaches, seekor molehog (tiada terjemahan yang saya jumpa) bernama Louis menaruh harapan kepadanya. Plot biasa dalam cerita-cerita high school atau teenagers - mengingatkan saya kepada siri Lizzie McGuire, watak Gordon, kawan Lizzie
  • Manny sangat over-protective terhadap Peaches. Banyak perkara yang Peaches tak boleh lakukan. Saya paling suka dialog ini:
          Peaches: So tell me, when exactly will I be allowed to hang out with boys?
          Manny: When I'm dead. Plus three days, just to make sure I'm dead.

  • Diego yang kononnya garang dan mungkin tiada perasaan akhirnya terpaut pada Shira, watak antagonis yang memihak kepada Captain Gutt. Paling kelakar (pada sayalah) apabila Manny mengusik Diego yang mengadu mengapa dia tidak keruan selepas Shira balik semula ke Captain Gutt.

        Manny: Looks like you got the L word.
          Sid: Yeah leprosy.
          Manny: No, it's 4 words, starts with L, ends with E.
          Sid: Ohh yeah, lice. 

          hahaha ... good one Sid!

  • Imej dalam cerita ini sangat cemerlang. Saya rasa kalau saya menonton versi 3D, mungkin boleh terasa cemasnya bila teroleng-oleng di atas bongkah ais sambil menempuh ombak ribut.
  • Watak antagonist selalu susah nak mati. Kenapa ya?
  • Granny itu sangat bijak. Dialognya banyak yang lucu. Kata Kak Marina, tanpa Sid dan Granny, filem ini mungkin tidak berapa menarik.
  • Filem ini masih selamat untuk ditonton seisi keluarga. Banyak moral yang dilupakan dibangkitkan kembali dalam ceritanya. 

Rating saya: 4.5 / 5 (Kak Marina sampai hairan kenapa saya pemurah sangat. Saya kata, why not, cerita menarik, grafik cantik ... saya bukannya kritikal sangat!).

Tuesday, July 3, 2012

I Want to Be a Writer: Ummu Hani Abu Hassan


Picture by Google


Buku ni saya nampak masa PBAKL 2012 hari tu - namun dikerling-kerling sahaja. Tiada niat untuk membeli pun. Tapi, masa jalan-jalan di kedai buku 2 minggu lepas, saya mengambil buku ini - tanpa sebab dan alasan yang kukuh. Kemudian, baca sikit, terperap lama. Sampailah semalam, semasa perjalanan balik dari Shah Alam, baru habis membaca.

Ini adalah buku kedua mengenai menjadi penulis yang saya beli - pertama karya FT dan ini yang kedua. Niat nak menjadi penulis ke? Entah. Kadang-kadang rasa macam nak mengubah dunia melalui penulisan - ala-ala penulis best seller gitu. Tapi, selalunya hanya rajin mengkagumi kerja orang sahajalah.

Pertama mengenai buku ini - yang tidak saya fahami - mengapa ia menggunakan tajuk dalam bahasa Inggeris sedangkan dalam buku tersebut tiada langsung catatan dalam bahasa Inggeris. Strategi pemasaran, mungkin?

Keseluruhan buku ini adalah penceritaan proses kreatif si penulis. Bermula dengan catatan mengenai sejarah awal hidupnya - dan kemudian bagaimana ia berkembang menjadi minat dan seterusnya hingga beliau menjadi penulis yang prolifik. Ada perkara yang boleh dijadikan teladan bagi sesiapa yang mahu menulis. Saya yakin setiap orang ada proses berkreatif dengan cara tersendiri. Namun, tak salah kalau kita meninjau cara orang lain -- mungkin boleh menjadi pendorong kepada kita pula.

Yang buat saya tertarik pada buku ini, anekdot-anekdot yang ditulis secara santai, tapi disimpulkan dengan pengajaran tertentu. Kalau dapat faham, fahamlah. Kalau tidak, anda bacalah di antara barisnya berulang kali.  Ummu Hani pada saya adalah pencerita yang baik, yang boleh buat saya relate dengannya.


Kenapa mahu menulis?
Ramai orang berbeza pandangannya. Penulis buku ini beralasan bahawa dia berkarya adalah sebagai satu cara memberi nasihat kepada pembaca yang mungkin akan mendorong jiwa manusia kepada fitrah kejadiannya. Mungkin dia sudah berjaya - kerana apabila membaca karyanya, jarang saya ketemukan karya yang berplot kosong seperti roman picisan yang melambak di pasaran.

Seperkara lagi yang saya suka dengan karya Ummu Hani adalah pada sudut praktikaliti dan rasioanalnya. Membaca Baromkeh, Matamu di mataku, saya rasa tidak meluat atau stress dengan gambaran watak yang tidak rigid atau syadid dalam menjaga agama. Ada di kalangan penulis 'Islami', bila mengarang, melampau gila cara mereka memotretkan watak. Sempurna seumpama malaikat. Saya memang menolak pengarang sebegitu - tak kiralah murni mana pun pengajarannya. Saya mungkin tidak se-adventurous mana dalam pembacaan.

Balik kepada soalan kenapa mahu menulis - saya tak tahulah adakah penulisan saya boleh dikatakan menulis (soalan apakah itu?). Saya menulis kebanyakannya untuk bercerita mengenai rasa. Untuk bercerita secara lisan, saya tiada kemahiran itu. Saya lebih ekspresif melalui kata-kata.Tapi, di hujungnya, pasti ada rasa mahu mengingat, menasihat dan menganjurkan pembaca reflektif kepada diri. Oh .. anda sajalah yang menilainya.


Ada yang tak suka?
Keseluruhan buku saya suka, cuma saya tak faham mengapa bahagian akhir buku ini, dengan lampiran skrip drama DISAPA IZRAIL (saya tak menonton ceritanya), tiada sebarang catatan. Bagaimana proses menulis skrip ini berlaku, kenapa ia berlaku, apa iktibarnya, tiada. Apa tujuannya Ummu Hani buat begitu, saya tak dapat tangkap -- adakah disengajakan? Dia sahaja yang boleh menjawab.


Setelah membaca keseluruhan buku ini, saya ada rasa mahu berkarya seperti dia. Itu saja.

Marah tak anda membacanya? hehehehe. Peace!

Wednesday, June 27, 2012

Not So Wordless Wednesday



Picture by Pinterest





No matter how busy you think you are, you must find time for reading or surrender yourself to self-chosen ignorance 

(Confucius)

Sunday, June 24, 2012

BRAVE - If you had a chance to change your fate, would you?


Walaupun dalam review yang saya baca ditulis yang filem ini mengangkat tema cliché kasih antara ibu dan dan anak, ia tetap tidak menghalang saya daripada menontonnya. Sementelah tiada apa yang hendak dilakukan di petang Sabtu, saya mengheret Kak Marina sekali. Dia tak mahu pada mulanya.

"Best sangat ke cerita ni?"

"Kau kalau tak best cerita ni, jangan harap I bayar tiket filem tu!" ancamnya.

"Hah, 3D pulak tu! You'd better sure this movie is worth watching." -- Saya respond: WHATEVER!


Sampai di Mesra Mall Kerteh, nak mencari parking di petang Sabtu agak mencabar. Namun, alhamdulillah, tidaklah sampai kena berpusing 2-3 kali. Setelah mengambil tiket dan membeli jajan untuk menonton, kami menuju ke panggung.

Sebelum certia bermula, ada cerita mini mengenai 2 orang lelaki yang mengajar pekerjaan mereka kepada seorang budak lelaki - kerja bagaimana untuk membuatkan bulan penuh menjadi bulan sabit. Comel ceritanya.

Filem bermula. Perkara pertama yang menangkap minat, adalah karekter utama - Princess Merida. Kak Marina kata rambut Princess Merida paling menarik - sangat hidup dan 'menggeramkan'. Apabila Princess Merida bermanja dengan ibunya, rambutnya kembang beralun. Cantik!




Princess Merida
Picture by Google

Perlukah saya ceritakan plotnya? Malaslah. Anda boleh baca di sini. Maka, apa yang tinggal untuk ditulis?



Saya mahu menulis seperti catatan rawak saya pada cerita The Hunger Game.




King Fargus dan Queen Elinor
Picture by Google


  • Ibu itu tetaplah ibu. Walau bertukar fizikal, masih dia seorang ibu yang menyayangi tanpa syarat, menggadai nyawa memastikan anaknya selamat - mata saya masuk habus di setiap babak Princess Merida bersama ibunya
  • Saya sukakan dialog ini: 
  • Princess Merida: I want my freedom!
  • Queen Elinor: But are you willing to pay the price your freedom will cost?
  • If you had a chance to change your fate, would you? -- saya kira ini yang diajar dalam Islam, belajar menerima takdir. Ada takdir boleh berubah dengan usaha dan doa, maka sebenarnya kita banyak pilihan dalam menentukan hidup kita. Allah memberi terlalu banyak buat kita, namun adakah kita telah berterima kasih dengan sewajarnya? 
  • Saya sukar memahami apa yang dituturkan oleh Princess Merida - kerana semacam sahaja bunyi pelatnya - pelat Scottish kot. Kalau tak kerana subtitle nya, mungkin saya dapat enjoy sedikit sahaja cerita ini. Namun, dialog King Fergus, Queen Elinor, The Witch dan lain-lain ok. Kak Marina sebaliknya pula - dia kata dialog Princess Merida sangat jelas. Ye lah, dia kan pernah belajar di UK dan berkawan-kawan dengan orang Scottish? =p
  • Kenakalan Harris, Hubert dan Hamish sangat menawan. Comel sahaja ketiga-tiganya - watak tanpa dialog, namun pergerakannya sangat best!
  • King Fergus adalah raja yang sangat cool - yang membenarkan anaknya explore banyak perkara dalam kehidupan. Ayah saya juga begitu - jarang menghalang .. maka, ayah saya pun cool! Hehehe.
  • Perlukah ibu bapa menetapkan kehidupan anak-anak? Kalau ya, rasional makan garam itukah yang harus digunakan? Atau, kalau tidak, sejauh mana anak-anak dibenarkan lepas bebas?
  • Proses pembelajaran itu adalah sesuatu yang dinamik - ia boleh berlangsung dalam setiap masa yang berjalan. Saya tertarik bagaima Queen Elinor yang telah bertukar menjadi beruang, masih lagi berusaha mengajar Princess Merida bertingkah seperti seorang puteri dengan cara makan dan berjalan dengan betul
  • Be careful what you wish for - barangkali kamu tidak suka apa yang kamu dapat, sedangkan ia sangat bermanfaat kepada kamu - saya kadang-kadang (most of time sebenarnya) selalu mahukan jalanan hidup saya menjadi lain seperti yang saya mahukan walaupun sebenarnya saya tiada idea adakah itu sesuai dengan saya atau pun tidak. Saya cuba merasionalkan banyak perkara, namun dek kerana batasan akal, saya menjadi pemarah dan kecewa sendiri. Dengan peningkatan umur, saya mula menstabilkan diri dengan cuba untuk tidak expect banyak perkara, menerima seadanya. Dan, alhamdulillah, saya rasa ok. Saya hanya berdoa semoga saya akan lebih banyak memberi daripada menerima. InsyaAllah. 



Harris, Hubert dan Hamish - The Triplet
Picture by Google

Keseluruhan, rating saya adalah 4.5 bintang. Memang boleh ditonton berkali-kali. Temanya mungkin cliché habis, namun saya percaya ia masih perlu diulang-ulang kerana manusia selalu lupa. Apatah lagi pada perkara yang sentiasa berlaku di sekeliling kita.

Kita mudah untuk ambil mudah - take things for granted. Kemudian, sampai pada satu ketika, kita mungkin akan tersedar - hard way or easy way - tapi, yang penting, bagaimana kesudahannya nanti.

Selepas habis menonton, ingatan saya terlayang pada seorang yang saya kenal. Katanya:

"Saya tak punya hubungan baik dengan mak dan ayah. Saya tak pasti apakah saya akan ok kehilangan keduanya. Pada masa sekarang, hubungan saya dan mereka, hanya adalah di peringkat surface sahaja. Saya tak pasti, kalau jauh di lubuk hati ada tersembunyi sayang itu. Tapi, yang saya pasti, mereka sentiasa ada untuk saya. Saya rasa saya selfish, but I couldn't help it. Semuanya berpunca pada bagaimana mereka layan saya semasa kecil. Saya tidak berdendam, cuma saya tak tahu bagaimana mahu menyayangi mereka. Mereka seolah-olah benda yang ada pada saya, yang saya tak tahu nak apakan. 

Walaupun perasaan tidak akan dihisab, saya tak mampu nak lari dari rasa bersalah kerana menyayangi ibu bapa saya begitu sahaja. Dan, kamu tahu bagaimana saya memujuk diri untuk terus berhadapan dengan masalah ini?

Saya akan menonton cerita bertema kasih sayang ibu dan ayah atau membaca buku-buku sebegitu kerana dari cerita itu saya boleh berangan saya pernah melalui walau hakikatnya tidak. Saya tak kisah untuk itu .. after all, saya masih berhutang nyawa dengan mak dan ayah yang masih sudi membela saya. Mungkin mereka sebenarnya sayang, cuma tidak tahu meluahkan."


Saya doakan kamu yang terbaik, kawan.

Saya dan Kak Marina menuju ke Pizza Hut selepas itu.

Wednesday, May 2, 2012

Sunday, April 29, 2012

Ini yang kita beli ...

Sebelum masuk ke urusan review (yang entah bila akan muncul), haruslah saya bercerita apa yang saya beli di PBAKL 2012 tu, kan? Ala-ala teaser gitu ... Hehehe. 

Ok, inilah hasilnnya dan rasional pembeliannya (boleh gitu?):


Kompilasi resepi bersama anekdot yang pernah tersiar di blog penulis. Pn. Roza adalah penulis kegemaran saya - saya terpikat kepada gaya penceritaan beliau yang pada saya begitu berterus-terang. Sudah habis baca dan sedang di dalam senarai senarai untuk direview

Rasional: Bila dah suka, beli sajalah. 



Buku ini saya dapat di booth ITBM sewaktu hampir kecewa tidak dapat Kembara Sastera Pn. Nisah. Dengan kulit luar yang agak menggamit minat, saya ingin mengenali Pak Samad yang akhir-akhir ini banyak sekali cerita yang tidak enak mengenainya yang bertebaran. 

Rasional: Nak tahu dan nak kenal, kalau boleh, nak cinta. 



Yang ini buku yang dipesan oleh anak saudara saya. Katanya, kalau harganya sudah menjadi sekitar RM250, tolong beli untuknya (harga asal RM300) - kemudian saya dpaat tahu, ada kawan dapat membeli dengan harga RM150 sahaja! Sebel! Saya sedang mempertimbangkan untuk menjadikan naskhah ini sama ada sebagai hadiah hari lahirnya atau hari perkahwinannya awal Jun nanti. Tengoklah macam mana ...

Rasional: Memenuhi hajat orang. Moga-moga hajat kita akan dikabulkan. Ameen.



Ini tidak dibeli di PBAKL 2012, tapi di MPH Alamanda. Teruja bila lihat buku ini masih di rak apabila kisah pengharamannya berbunyi di sana sini. Banyak polemiknya. Tidak pedulikan itu semua, saya ambil saja. Untuk sendiri baca dan sendiri nilai.

Rasional: Untuk tahu. Adakah selepas saya tahu, saya akan berubah hati? Tunggu dan lihat.



Satu lagi buah tangan Dr. FT - saya beli di booth Ameen Publication. Kala memegangnya, ditegur adik penjaga booth - "Akak peminat FT ye? Ni ada lagi ..." sambil menunjukkan himpunan karya FT yang hampir semuanya saya sudah miliki. Saya senyum sahaja. Kulit luar novel ini agak meriah kali ini, berbeza dengan yang terdahulu. Saya tak kisahkan kulitnya - kerana isinya lebih menggamit. Tapi, saya tertarik dengan pendapat blogger ini (dan saya belajar sesuatu darinya juga!). Masih belum dibaca.

Rasional: Perlukah saya mewajarkan pembelian saya apabila saya seorang peminat mati keras Dr. FT?



Naskhah ini juga dari booth ITBM. Entah kenapa saya capai juga walaupun di blurbnya pada saya berisi cerita biasa. Itu nilaian awal yang pasti boleh berubah. 

Rasional: Tak pasti.



Saya jarang nak membaca buku-buku motivasi dalam bahasa Melayu kerana saya rasa cara ia ditulis agak 'mengerikan'. Pengecualian kepada beberapa penulis - seperti Abu Saif dan Pn. Roza. karya Syed Alwi AlAtas ini belum pernah saya baca .. namun, ada rakan yang semacam peminat tegar penulis ini sering mengapi-apikan saya mengenainya. Kiranya ini adalah cubaan pertama. Masih belum dibaca.

Rasional: Belian atas pengaruh.



Siapa Shirley Geok - Lin Lim ni? Entahlah. Tak pernah dengar pun. Cari di google, beliau merupakan penulis besar di USA yang lahir di Melaka. Setelah saya selak blurb, saya rasa macam best saja ceritanya, maka, saya ambil lah. Lagipun buku ini dijual hanya dengan harga RM10 di gerai yang ala-ala pay less book. Oh, saya ada sesuatu untuk diperkatakan mengenai pay less book ni. Tapi, bukan nak cakap sekarang.

Rasional: Murah dan macam menarik =)



Muka Dr MAZA di kulit luar buku ini macam muka adik saya! (Kaitan?). Saya selalu juga membaca tulisan Dr. MAZA di blognya. Tapi, bila tulisannya menjadi terlalu panjang untuk sebuah blog entry, saya rasa buku adalah pilihan yang lebih baik untuk saya. 

Rasional: Saya tak suka berteleku lama-lama di skrin komputer.



Buku ini memang saya hajati sedari pengumumannya dibuat di blog Ustaz Hasrizal. Hari pertama pergi, buku ini belum sampai ke booth Galeri Ilmu. Terpaksa pergi kali kedua. Tapi, tak kisah, kerana saya memang mahukannya. Sudah habis baca, tapi rasa macam tak best pula review yang telah saya drafkan itu. Saya kehilangan sentuhan agaknya (sila muntah di sini!).

Rasiional: Saya suka, saya beli, saya baca.



Yang ini seperti yang berlaku pada buku memoir penulis tu. Harganya RM10. Saya tak pasti apa yang membuatkan saya membelinya. Tapi pasti ada sesuatu. Nantilah saya ingatkan semula ..

Rasional: Murah.



Buku ini antara yang banyak juga cabaran untuk mendapatkannya (sila baca entry sebelum ini). Yang menarik, saya dapat buku ini berserta tandatangan dan peluang bergambar dengan penulisnya selepas mendengar beliau berwacana. Pakej yang sangat saya senangi!

Rasional: Saya sukakannya! Perlu ada rasional kah?


Saya kira belian kali ini penuh kewajaran dan pertimbangan - tidak seperti tahun-tahun yang lalu (haha!). Agaknyalah begitu. Apapun, saya akan cuba menghabiskan pembacaan ke atas semua buku-buku ini. Dan, sekiranya lebih meyakinkan, mungkin saya akan masuk 'bertanding' Cabaran Membaca 50 buku setahun di Goodreads (double haha!).

Rasanya OKlah niat itu bagi seorang pembeli buku tegar dan pembaca yang malas seperti saya. Mudah-mudahan Allah mengizinkan.


**Semua gambar adalah ihsan Google

Friday, April 27, 2012

Mujur Sempat!

Seperti yang saya katakan pada entri terdahulu, pesta buku kali ini membuatkan saya rasa teruja. Namun, saya tak pasti apa dan kenapa saya mesti rasa begitu.

Bila sampai di PBAKL 2012 pada tengahari 27 April lalu, saya rasa saya sudah teringat kenapa saya teruja - jawapannya .. adalah kerana naskhah ini.


Picture by Google

Siri kembara Pn Nisah saya ikuti dengan penuh minat di blog beliau. Kagum, cemburu semuanya berpadu. Pada saya Pn Nisah antara contoh wanita-wanita power rangers di sekitar saya. Hal ini akan saya ceritakan bila saya sudah lunas membaca naskhah ini. Buat masa ini, pembacaan kena hold dulu, sebab ada banyak perkara lain (alasan lagilah tu!).


Wacana Sofa Puith - 27 April 2012
PWTC Kuala Lumpur

Picture by Truly Yours

Memang petang 27 April itu saya berhajat untuk bertemu dan mendapatkan autograph Pn. Nisah di atas buku ini. Maka, saya ajak Kak SitiM cepat-cepat pergi ke booth ITBM di tingkat tiga pada pukul 3 - kerana akan diadakan sesi Wacana Sofa Putih dengan Pn. Nisah. Sampai sahaja di sana, program sudah bermula. Terus saya duduk berteleku di situ. Pn Nisah berpasangan dengan Prof. Dr. Siti Zainon Ismail - bercakap mengenai pelbagai isu penulis wanita.

Antara senggang wacana, saya meninjau-ninjau di rak pameran mencari naskhah Kembara Sastera, namun hampa. Saya bertanyakan kepada adik-adik petugas - kata mereka buku itu mungkin akan sampai petang sedikit kerana masih di kilang. Saya jadi kecewa -- kalau sudah diiklankan, maka, patut ada lah bendanya. Intai di meja panel, ada 2-3 naskhah contoh. Saya ligat berfikir bagaimana untuk mendapatkannya. Saya kemudian mencangkung lagi mendengar wacana sampai tamat.

Usai wacana, saya pergi mengintai di meja urusetia. Nampak ada beberapa kotak buku. Yang terlihat buku karya Prof. Dr. Siti Zainon, tidak buku Pn. Nisah. Saya hampa lagi. Kemudian, saya nampak Pengarah ITBM, En. Khair Ngadiron mengelek buku tersebut. Dalam hati berkata, "apa hal depa ni ... dahulukan lah pelanggan ... ini orang ITBM pulak yang melebih-lebih ... urghhhhh!".

Saya kemudian berlegar-legar di rak pameran setelah merasakan yang buku itu tidak akan saya dapat hari ini. Kemudian saya tertarik pada 2 naskhah buku - Amina dan Siapa Pak Samad (macam tu lah tajuknya). Kedua-dua buku itu saya ambil dan berjalan ke kaunter bayaran.

Tika beratur, seorang pelanggan di depan saya memegang buku Kembara. Wahhh, mana dia dapat ni? Tak bertunggu, terus saya tanyakan dengan pelanggan itu dan dia menunjukkan kotak buku tersebut. Tanpa berlengah, terus saya capai dan bayar. Gembira!


PBAKL 2012 - 27 April 2012
PWTC, Kuala Lumpur

Picture by Truly Yours

Walaupun saya juga selalu dilabel power rangers, tapi banyak waktunya saya bukan berani sangat. Dah dapat buku tersebut, saya jadi segan pula untuk mendapatkan autograph Pn. Nisah - apatah lagi ramai yang mahu berbuat demikian.

Tapi, syukur, akhirnya saya berjaya mendapatkan tandatangan dan dapat bergambar sekali dengan penulisnya.

Saya menjadi peminat yang sangat gembira di petang itu. Yeay!

Thursday, April 26, 2012

Sebelum berjumpa kamu.


Satu penyakit kronik saya, gila membeli buku, namun sukar untuk dibaca. Bermacam helah dan alasan saya berikan. Tak tahu bilakah tabiat buruk ini akan berakhir. Buku-buku di bawah ini saya beli sebelum menghadirkan diri ke PBAKL 2012. 



Mari saya ceritakan kenapa saya membelinya:




Buku yang ini saya temui di Borders Queensbay Mall Pulau Pinang. Tidak berhajat untuk membeli, namun bila mata tertancap pada kulit luar, terus fikiran melayang teringatkan keterujaan blogger ini bercerita mengenainya. Tanpa rasa bersalah, terus naskhah ini bertukar tangan. Baru diselak sedikit-sedikit. Bolehlah dihabiskan ... cuma tak tahu bila. 




Gila kamu untuk membiarkan karya Andrea Hirata begitu saja? Saya tak baca blurb, saya tak selak naskhahnya - dari rak terus ke kaunter - hanya kerana nama Andrea Hirata itu. Nipis sahaja. Lain kali kita cerita.




Yang ini tak pasti kenapa saya capai juga. Agaknya, mungkin tertarik pada satu dua baris jokes yang saya baca sepintas lalu. Mungkin juga kerana bentuk tulisan yang digunakan. Impulsive buyer? Apa kah ubatnya?



Yang ini saya beli kerana tertarik dengan catatan di blurbnya. Lagi pun, cerita cikgu-cikgu dan pelajar sememangnya ada tarikan tersendiri kepada saya. Cita-cita menggunung, untuk menjadi cikgu yang berperibadi luhur ... tapi .. kalau lah begini tabiatnya, haruskah saya melupakannya? Baru baca sikit, saya dah tutup sebab excited nak cari buku-buku di PBAKL 2012.




Kata Kak Marina:
"You'll make a good library but not a good librarian."




Well, am concur with that. I rest my case. =)